Friday, May 1, 2009

RM20j bantu belia bertani

BERA: Kementerian Belia dan Sukan menyediakan peruntukan RM20 juta menerusi Tabung Ekonomi Belia (TEB) untuk membantu belia yang terbabit dengan kegiatan pertanian.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata menerusi tabung itu, belia yang mengusahakan pertanian boleh memohon pinjaman antara RM15,000 hingga RM50,000.

"Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sentiasa memberi penekanan terhadap pertanian sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
"Abdullah memberi fokus kepada bidang pertanian dan mahu memperhebatkan gerakan pertanian di negara ini," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Pertubuhan Peladang Kawasan Bera di Kerayong, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai, Norol Azali Sulaiman dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Bera, Abu Bakar Abdul Kadir.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, belia perlu merebut kemudahan disediakan kerana bidang pertanian kini bukan saja memberi pulangan lumayan, malah dapat mengurangkan pergantungan negara kepada makanan negara luar.

Katanya, pinjaman TEB dibuka kepada belia yang berumur bawah 40 tahun dengan seorang penjamin.

Beliau yakin krisis kekurangan bekalan makanan dapat diatasi jika beliau mengambil kesempatan mengusahakan tanah terbiar dengan projek pertanian terutama sawah.

Sehubungan itu, Ismail meminta pertubuhan peladang dan agensi pertanian mengenal pasti kawasan tanah terbiar yang boleh dibangunkan untuk tujuan pertanian.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Tabung Pendidikan LPP kepada 52 pelajar cemerlang, manakala tabung kebajikan ahli (sembilan) dan sijil penghargaan (sembilan).

No comments:

Post a Comment