Monday, June 29, 2009

Bukit Sampah Tanah Merah Ranau

Pemuda Ranau ingin mendapat perhatian pihak yang berwajib bagi melihat situasi yang jarang dilihat tetapi bakal menjadi isu yang memberi kesan jangka panjang kepada persekitaran dan warga penduduk Ranau yang berada dalam radius Bukit Sampah yang terletak di Tanah Merah, Ranau.

Warga Ranau berharap akan ada tindakan yang diambil bagi memulihnya dengan segera dan mencari penyelesaian kepada kaedah Sistem Perlupusan Sampah yang bersistematik dan mesra alam. Kelemahan perancangan bagi mengurus bahan buangan tersebut bakal mengundang masalah dan kesannya adalah kepada warga Ranau.

Warga Ranau amat berharap pihak berkuasa tempatan seperti Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Persekutuan yang Timbalan Menterinya adalah oleh Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin dari Sabah, dan juga YB Datuk Hj. Hajiji Hj. Noor, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah, dapat bekerjasama membantu untuk mengatasi masalah ini dan mendapatkan peruntukan dana dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10) agar satu sistem dapat dirancang bagi mengurus sistem pelupusan sampah ini di Ranau. Kami warga dari Ranau berharap isu-isu ini dapat diambil perhatian serius.

Ikuti klip video ini & juga gambar-gambar yang diambil.




From Bukit Sampah

Kompleks Sukan Ranau & Rumput Kerbau


Pembinaan Kompleks Sukan Ranau kini dalam fasa akhir pembinaan. Tinjauan yang dibuat membuatkan kami kagum kerana kompleks ini tersergam megah di atas bukit yang memboleh panorama persekitaran daerah Ranau yang berdekatan dengan Pekan Ranau dapat dilihat dari sini.

From Kompleks Sukan Ranau

Kemudahan-kemudahan yang ada bakal merancakkan aktiviti-aktiviti sukan daerah Ranau melalui kemudahan yang disediakan. Harapan ini diharap dapat mencetus minat belia dan warga Ranau untuk melahirkan atlet-atlet harapan Ranau yang membawa panji-panji bendera Sabah dan Malaysia dipersada yang lebih berprestij lagi. Pergunakan segala kemudahan yang ada kerana inilah pusat yang bakal melahirkan jaguhan-jaguhan yang lahir dari Ranau. Kita berharap wawasan yang dibawah oleh YB Datuk Masidi Manjun, Ketua Bahagian UMNO Ranau dapat diterjemahkan sebaik-baiknya.



Bila berpijak dan berdiri di kawasan Kompleks Sukan ini, saya teringat kata-kata yang pernah diucapkan diluar sana, berperasan dan membayangkan seolah-olah bermain bola di Stadium Sukan La Paz di Bolivia. Kedudukan Kompleks Sukan Ranau ini memang terletak di kawasan tinggi, saya pasti ramai peminat & pengemar sukan berhajat untuk merasai suasana kemudahan-kemudahan yang bakal disediakan nanti.

Walau bagaimanapun, ada juga rasa kecewa dan terkilan kerana dalam pemantauan yang dibuat, keadaan rumput di padang utama hanya menggunakan "Rumput Kerbau" yang bila difikirkan tidak sesuai atau "ngam" betul status stadium yang dibina ini. Mungkin penanaman "Rumput Kerbau" ini dapat ditukar kepada rumput yang sesuai. Harap pihak kontraktor yang bertanggungjawab kepada pembinaan ini dapat menimbang semula perkara ini demi kebaikan bersama.

Saturday, June 27, 2009

Laporan Aktiviti bagi Bulan Jun 2009

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Jun yang lalu.

Sukan Rakyat Sempena Tadau Kaamtan Kg Lutut & Program Daftar Pemilih SPR
From Sukan Rakyat Kg Lutut







Program Daftar Pemilih SPR di Pekan Kundasang, Ranau







Gotong Royong Perdana Kg Muhibbah







Program Angkasawan



From Gambar Aktiviti






Sambutan Pesta Kaamatan UPKO 2009
From Gambar Aktiviti

Sunday, June 21, 2009

Mampukah Pementasan Teater berunsur sejarah dapat memupuk minat belia di Ranau?

Baru-baru ini, saya telah menghadiri satu pementasan teater bertajuk "Tumpalak Rundum" yang berunsur sejarah orang Murut di Tenom. Teater ini telah dipentaskan di Dewan Besar, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 19 Jun 2009 yang lalu.

Teater ini memaparkan konflik yang mencetuskan pemberontakan Rundum pada tahun 1915 oleh orang Murut yang diketuai oleh Ontoros semasa penjajahan British di Borneo Utara di Tenom. Pementasan teater ini diarah oleh Sdr Hasmin Azroy Abdullah yang merupakan hasil karya oleh Encik Abd Karim Gullam & Nurul Syafiqa Abdullah @ Stella.

Saya suka untuk menyatakan di sini bahawa tenaga produksi yang terdiri daripada pelakon, krew teknikal, dan pengarah kebanyakan dianggotai oleh belia-belia muda. Saya sempat menemubual mereka tentang penglibatan mereka ini. Apa yang mengujakan saya bahawa semua ini didorongi oleh minat, komitmen dan semangat tanpa mengharapkan sesuatu yang berbentuk wang ringgit. Apa yang penting adalah kepuasan dalam menjayakan sesuatu pementasan.

Disebalik kumpulan pementasan ini, tulang belakang kumpulan yang diberi nama Kumpulan Seni Teater Asli Tenom atau dikenali sebagai "Santara" ditunjangi cara pengurusan yang baik merangkumi aspek kebajikan ahli, peralatan, latihan dan komitmen serta sokongan penuh oleh penasihat kumpulan iaitu Sdr Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Tenom merangkap Pengerusi Biro Kesenian & Kebudayaan UMNO Malaysia dan Negeri Sabah.

Klip video semasa pementasan teater tersebut:


Perkara ini membuat saya berfikir sejenak bahawa Ranau juga mempunyai bahan-bahan sejarah yang boleh diteaterkan. Belia-belia kita juga perlu dilibatkan dengan aktiviti seperti ini agar aktiviti-aktiviti kosong yang tidak sihat dapat diisi. Saya juga ada berbincang dengan bekas pelakon teater bagi mengetahui perkembangan semasa teater di Ranau. Tapi, khabaran tidak begitu mengembirakan dan kurang aktif. Berbanding dahulunya, antara nama yang dikenali seperti Kumpulan Aki Nabalu dan Kumpulan Gade (Gabungan Anak Desa) yang kerapkali mewarnai acara-acara kebudayaan dan kesenian dari Ranau mahupun luar Ranau.

Sebenarnya, Teater boleh diketengahkan untuk menarik minat golongan muda di Ranau sebagai salah satu pilihan aktiviti kebudayaan, yang mana bakat-bakat terpendam dapat ditonjolkan, perpaduan belia disemarakkan dan memupuk masyarakat belia yang tahu tentang sejarah nenek moyang daerah sendiri.

Berjaya atau tidak itu jangan difikirkan dahulu, apa yang perlu adalah membentuk kumpulan pengurusan yang dapat memulakan usaha ini disamping turut mendapat kerjasama pihak sekolah, agensi kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya.

Akhir kata, kita berharap sesuatu perancangan yang holistik dapat diambil tindakan memandangkan program kebudayaan & kesenian sebenarnya dibawah peranan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar.

Kalau daerah Membakut jadi perintis usaha "Sawah Terbiar", Ranau macam mana?

Akhbar dalam New Sabah Times hari ini memaparkan berita bahawa "Membakut Jadi Perintis". Apa yang dirintiskan disana, berikut adalah sebahagian petikan yang diambil dari berita tersebut, "MEMBAKUT: Kerajaan Negeri dengan dibantu oleh Kera-jaan Pusat akan terus berusaha untuk membangun kawasan tanah sawah yang terbiar yang ada di seluruh negeri ini untuk penanaman padi..." Ikuti berita penuh disini.

Kalau kita dapat ambil perhatian berita ini, sebenarnya Ranau juga berupaya untuk menjadi sebahagian pengeluar padi untuk negeri Sabah. Ada beberapa tempat yang boleh dikenalpasti kawasan tanah yang boleh diterokai dan sesuai untuk penanaman padi seperti di kawasan Tanah Rata Ranau mengujur dari Kg Marakau, Kg Libang hingga ke Kelimu dan Mukim Timbua yang terdiri dari Kg Timbua, Kg Merungkin Skim, Kg Merungin 1, Kg Merungin 2 dan Kg Kembiroi. Kawasan-kawasan ini telah dirancangan untuk tujuan penanaman padi yang mana sistem pengairan telah dibina bagi tujuan ini. Malangnya, usaha-usaha ini tidak mencapai matlamatnya atas sebab kurangnya pemantauan dan sokongan kepakaran teknikal daripada agensi kerajaan untuk lebih komitmen melaksanakan projek ini sebagai sumber penanaman padi yang boleh dioptimumkan secara komersil. Usaha-usaha ini hanya seperti "Melepas Batuk Ditangga" hanya sekerat jalan. Penduduk kampung kerapkali ditaburkan janji-janji manis hinggakan berita perkembangan perlaksanaan projek terkubur sekian lama.

Para Yang Berhormat (YB) sepatutnya perlu melihat peluang yang ada dan seharusnya menjadi tema "Pertanian Adalah Perniagaan" dapat direalisasikan demi kebaikan masyarakat di Ranau. Para YB kenalah memikirkan idea yang kreatif & inovasi agar peruntukan yang tersedia untuk projek Pertanian oleh Kerajaan Malaysia dapat diperas ugut untuk daerah Ranau, kerna mereka adalah wakil rakyat yang membawa suara rakyat kepada kerajaan. Usahakan dahulu kepada projek-projek bersepadu seperti yang dirintiskan di Membakut berbanding memikirkan projek-projek yang mega, agar rakyat mendapat manafaat dan pulangan hasil yang baik kepada mereka.

--Pemuda Ranau

Wednesday, June 17, 2009

Bilalah ada belia dari Ranau dapat jadi macam Ronaldo ...

Mungkin ada peminat MUFC bengang dengan keputusan yang dibuat oleh Alex Furgeson, Manager MUFC jual pemain utamanya Ronaldo kepada Real Madrid. Puhhh!! hargapun boleh tahan juga, lumayan dan paling mahal pemain setakat ini. Itulah keserian dalam dunia industri bola sepak, industri yang memberi pulangan pelaburan yang lumayan jika program yang dirangka secara sistematik dibuat sebaik-baiknya.

Rasa-rasa bilalah ada wakil belia dari Ranau dapat mencapai tahap seperti ini, kalau dilihat ramai juga belia kita mencapai tahap status district dan jugak state player bukan estate player. Namun selepas itu, entah ke mana sudah arahnya. Balik kampung, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Adakah hal ini berkaitan dengan cara pengurusan Bola Sepak Ranau atau Negeri yang kurang cekap atau terlepas pandang? Sumbangan pihak-pihak tertentu jugak amat diperlukan dalam merancakkan bola sepak di Ranau.

Secara umumnya, bila masuk di pelusok kampung, kita dapat lihat ramai belia memang mempunyai bakat-bakat yang boleh digilap dan ditonjolkan. Tapi kenapa tiada program yang disediakan untuk membimbing dan memantapkan lagi bakat mereka untuk kita hasil produk pemain bola sepak dari Ranau. Harap pegawai SAFA Ranau dapat rangka program tertentu untuk ini, dari segi aspek pembangunan, kejurulatihan, pengurusan dan prasarana sukan bola sepak.

Melalui pengamatan saya dengan kenalan-kenalan dari luar Ranau, jika ada pertandingan seperti Bola Sepak Terbuka Ranau diadakan, sudah pasti ramai pasukan akan datang untuk turut serta dalam pertandingan ini, mereka mengatakan bahawa bola sepak di Ranau ada prestijnya kerana manager-manager pasukan berani mengeluarkan peruntukan besar untuk membawa pemain import yang terdiri dari State player mahupun reserve league player sehinggakan nama Ranau gah disebut orang. Boleh tahan jugak. Ini dapat menarik minat belia kita untuk bersaing dengan pemain-pemain yang berpengalaman. Apapun, jangan pulak manager kita ini terlupa untuk menyerapkan beberapa pemain tempatan dalam pasukan masing-masing. bagi ruang belia kita beraksi bersama pasukan dream team masing-masing.

Umumnya, kita berharap akan ada suatu hari nanti program yang dapat membawa halatuju bakat-bakat belia bola sepak kita yang boleh digilap untuk membawa cabaran pasukan Malaysia ke peringkat yang lebih baik lagi. Iutlah harapan kita. Tapi, disiplin dan komitmen perlu ada jika tidak "sio no" setakat jaguh kampung aja akhirnya.

Tuesday, June 16, 2009

Modal insan pelengkap ekonomi baru berteras inovatif, kreativiti

Saya amat tertarik dengan artikel di bawah ini yang boleh membuka minda masyarakat kita tentang pentingnya usaha untuk mendalami keupayaaan Inovasi & kreativiti sebagai tool untuk memperkasakan modal insan yang berilmu bermula dari awal peringkat persekolahan. Jika perkara ini dihalusi sebaik-baiknya, hasilnya bakal mencerna sumber modal insan berdaya saing dan mencetuskan kebaikan kepada ekonomi negara. Trend kini berubah sudah. - Pemuda Ranau


Sumber: Macri.com.my

Oleh Jami’ah Shukri
rencanabh@bharian.com.my


PENSYARAH, penulis dan pakar perunding terkemuka dunia, Peter F Drucker pernah berkata: ‘Inovasi adalah elemen utama kepada usahawan. Dengan mengeksploitasi sesuatu yang berlainan dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan mampu mengubah elemen itu.

“Usahawan juga perlu melakukan kajian untuk mendapatkan sumber yang lebih inovasi dan mengaplikasikan ke arah mencipta serta meneroka kejayaan lebih cemerlang.”

Ternyata berfikiran kreatif dan inovasi adalah ramuan terbaik untuk melakukan sebarang penciptaan dalam apa juga sistem kehidupan. Minda kreatif dan inovasi mampu memacu kedudukan tertinggi sosioekonomi sesuatu bangsa. Dalam misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020, semua sektor perlu menggarapkan nilai kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan mereka.

Dengan itu, langkah kerajaan memperkenalkan model baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, tepat pada masanya ke arah meletakkan kedudukan ekonomi daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi.

Model ekonomi baru yang memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan produktiviti wajar dilaksanakan segera.

Presiden Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (Macri), Datuk Ghazi Sheikh Ramli menganggap langkah kerajaan itu adalah sejajar dengan misi Macri sendiri yang kini begitu agresif mempromosi kreativiti dan inovasi sebagai jentera bagi menentukan kejayaan negara pada masa depan kepada semua lapisan masyarakat sejak penubuhannya pada April 2007 lalu.

Oleh itu, misi Najib untuk membentuk model baru ekonomi memberi ruang kepada transformasi berkesan dengan menambah nilai yang lebih tinggi menerusi kreativiti dan inovasi. Ekonomi baru ini mampu direalisasikan dengan menyatukan pengetahuan dengan modal insan.

Apa yang perlu dilakukan, Ghazi berkata, keseluruhan sektor ekonomi termasuk di kalangan kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan bertindak untuk mewujudkan transformasi dengan meningkatkan nilai dalam sistem kehidupan mereka.

“Sebagai contoh, syarikat multinasional yang besar dan berjaya, sebenarnya mempunyai budaya inovasi secara menyeluruh di dalam syarikatnya seperti dilakukan IBM, Google, Digi dan Philips.

“Apa yang diperlukan dalam pasaran di Malaysia, syarikat tempatan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi penekanan terhadap inovasi dalam ekonomi baru dengan menjadikannya budaya dalam syarikat masing-masing. Apabila ini dapat diterapkan segala pelaksanaan program akan mencatat kecemerlangan,” katanya.

Kajian terhadap 25 syarikat inovatif dunia, mendapati Google sentiasa berada paling atas kerana menggarapkan kreativiti dan inovasi dalam setiap amalan syarikatnya.

Syarikat Tata, dari India, umpamanya, sebelum ini tidak pernah termasuk dalam senarai 25 syarikat inovatif terkemuka dunia, tetapi tahun lalu nama negara itu melonjakkan ke tangga ke-6 selepas melakukan inovasi dalam penciptaan kereta cip terkecil di dunia, iaitu Nano yang hanya bernilai AS$2,500.

“Sekiranya kita meluaskan minda dan berfikiran kreatif serta inovatif, apa juga yang dilakukan boleh ditambah nilai dan dikomersialkan.

“Saya fikir strategi terbaik yang perlu dilakukan kerajaan untuk membangunkan ekonomi baru yang berasaskan kepada kreativiti dan inovasi bagi menambah nilai ialah dengan menekankan kepada modal insan,” katanya.

Apa yang penting ialah memastikan seramai mungkin rakyat di negara ini memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan kreativiti dan inovasi.

Penubuhan Macri, katanya, sejajar dengan matlamat negara dan dengan keahlian 1,800 dari pelbagai kaum, iaitu 55 peratus kalangan dewasa dan 45 peratus di bawah usia 21 tahun serta penekanan kepada ‘memperkasakan idea yang mudah’ sebagai pemangkin generasi yang hebat pada masa depan.

Rakyat, kata beliau, tidak seharusnya dangkal fikiran dengan hanya menganggap inovasi berasaskan kepada produk, sebaliknya perlu memperluaskan minda kepada aspek lain.

“Apabila bercakap mengenai kreatif dan inovasi, masih ramai yang salah anggap dan itu perlu dibetulkan. Ada yang menganggap kreativiti hanya dalam bidang muzik, teater, drama, filem dan penulisan, manakala inovasi hanya untuk pakar penyelidik serta saintis. Ini seolah-olah mereka saja yang kreatif.

“Ada juga yang menyatakan inovasi hanya kepada produk. Semua tanggapan itu salah. Oleh itu, kita perlu nyatakan bahawa kreativiti dan inovasi boleh dilakukan oleh semua golongan dalam apa juga bidang.

“Jika tidak didedahkan dengan perkara baru, selagi itu, kita tidak boleh menjadi seorang yang kreatif dan berinovasi. Kita mahu kedua-dua aspek ini tidak hanya sebagai retorik sebaliknya dilaksanakan kerana setiap manusia dilahirkan dengan akal fikiran dan ia perlu dipergunakan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam keadaan ekonomi merudum juga dianggap masa yang sesuai negara bergerak pantas ke arah pembinaan kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan.

Malaysia sudah bersedia ke arah itu kerana sudah didedahkan dengan aspek kreativiti dan inovasi jika dibandingkan dengan negara lain. Apa yang paling utama ialah bagaimana kita perlu melonjak lebih jauh ke arah itu dengan menggunakan model kreatif dan inovasi.

Sudah pasti Wawasan 2020 bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan moto Cemerlang, Gemilang dan Terbilang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini 1Malaysia oleh Najib adalah cantuman kesinambungan yang amat relevan pada masa ini dalam usaha mencapai sebuah negara maju.

Monday, June 15, 2009

Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.myAlamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya

Sumber: belia.org.my

BELIA adalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golongan ini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu.

Justeru, sebagai menghargai sokongan serta sumbangan penting golongan ini kepada negara sejak lebih 51 tahun lalu, maka setiap tahun kerajaan meraikan mereka menerusi sambutan Hari dan Minggu Belia Negara yang tetapkan pada setiap 15 Mei, seperti pada hari ini.

Tahun ini, sambutan perhimpunan berpusat di Melaka, negeri yang kaya dengan sejarah dan paling aktif dengan aktiviti belia. Sambutan awal program ini sebenarnya sudah dilancarkan di Stadium Utama Kangar pada 3 Mei lalu. Bagaimanapun sempena perhimpunan hari ini, acara di Melaka bermula sejak 13 Mei lalu dan berakhir Ahad ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka itu, menyaksikan penganjuran pelbagai acara menarik. Antaranya Karnival Remaja, Festival Rekreasi dan Sukan Belia Kebangsaan serta Konvensyen Belia Kebangsaan.

Kemuncak sambutan tentunya, perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Perhimpunan kali ini bertemakan `Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan'.

Dianggarkan kira-kira 20,000 pemimpin dan wakil pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negara hadir pada majlis ini. Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Perhimpunan Belia Sedunia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dijangka hadir.

Pada awalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan dan sekali gus menyampaikan amanat penting pada majlis ini. Namun beliau terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di Menado, Sulawesi Utara, Indonesia. Tahun lalu, perhimpunan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia, mewakili pelbagai pertubuhan atau persatuan dari seluruh negara. Perasmian program bertemakan `Belia Cemerlang, Negara Terbilang' itu disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai imbasan, antara lain, dalam amanahnya yang terakhir sebagai Perdana Menteri, Abdullah mahu golongan belia di negara ini menanam sikap untuk sentiasa maju, hebat dan bersemangat tinggi agar dapat mencapai kejayaan dalam setiap bidang diceburi.

“Dengan sikap untuk sentiasa maju dan disertakan dengan ilmu atau kemahiran, belia akan mampu menghadapi saingan yang semakin mencabar. Kita tidak mahu belia tidak bekerja atau terbabit dalam kerja tidak berfaedah... kita mahu tenaga muda ini diperkasakan dan sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Perhimpunan secara besar-besaran di Ballroom MITC, Melaka pada petang ini sememangnya sangat dinantikan pelbagai pihak, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli belia sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah yang berkumpul di negeri kelahiran Hang Tuah itu sejak beberapa hari lalu.

Sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada awal April lalu, tidak banyak diketahui mengenai hala tuju belia negara berlandaskan konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri. Malah pada peringkat kementerian sendiri, dikatakan belum ada pendekatan paling tepat mengenainya.

Apa lagi dengan pelbagai kes membabitkan golongan belia hari ini yang agak membimbangkan. Misalnya, terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas.

Itu tidak termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah, ragut, pecah rumah, curi kenderaan, gangsterisme, seks rambang atau sumbang mahram termasuk membabitkan remaja di peringkat sekolah yang kebelakangan ini banyak disiarkan media. Kes sebegini tentunya amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Ahmad Shabery sebelum ini ada menyentuh konsep 1Malaysia ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009 di Kangar. Selepas majlis itu, beliau mengumumkan mengenai konsep ‘Satu Belia’.

Antara lain, beliau berkata, kejayaan konsep 1Malaysia sukar untuk dijayakan jika belia yang kini berjumlah kira-kira 12 juta, tidak bersatu. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, katanya, cara berfikir golongan muda juga perlu ditukar dan ia sepatutnya dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi.

“Belia seharusnya bersatu dan berfikir sebagai satu. Mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa depan. Kita patut mengajar mereka supaya menjadi warganegara yang mencintai dan mengasihi negara sebab mereka adalah mewakili masa depan.

“Sebab itu, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan akan menjadi realiti, malah mampu dicapai dengan cepat jika belia bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui pada satu majlis di Melaka baru-baru ini berkata, amanat yang bakal disampaikan Muhyiddin pada petang ini sangat penting terutama kepada belia, bagi memahami apa yang ingin dibawakan pucuk pimpinan menerusi konsep 1Malaysia.

Katanya, ini adalah amanat sulung pucuk pimpinan negara kepada belia dalam satu acara yang menghimpunkan semua pemimpin belia, sejak kepemimpinan baru mengambil alih.

“Sebab itu, saya berharap, perhimpunan ini bakal menjadi titik pertemuan kepada seluruh kepemimpinan belia seluruh negara untuk memahami konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri. Amanat ini penting untuk mengajak belia bergerak atas satu nada dan lebih penting, atas satu pemahaman.

“Selepas daripada itu, apabila mereka kembali ke tempat atau kawasan masing-masing, pemimpin atau wakil belia yang hadir ini akan membawa satu suara yang sama dan bukan lagi atas andaian serta pemahaman berbeza-beza. Belia perlu sepakat mencari jalan untuk sama-sama menjayakan konsep 1Malaysia ini,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Nizam Omar berkata, pertubuhan itu sememangnya menantikan amanat yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri terutama berkaitan konsep 1Malaysia.

“Kita berharap akan ada satu perkhabaran gembira disampaikan dalam amanat Timbalan Perdana Menteri nanti, sama ada untuk belia di kampung atau di bandar,” katanya.