KUALA LUMPUR 3 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Barisan Nasional (BN) masih lagi relevan walaupun dalam senario politik yang berubah dengan beberapa negeri jatuh ke tangan pakatan pembangkang.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, gabungan yang mewakili 13 parti komponen itu masih boleh diharap untuk memerintah negara ini kerana ia diwujudkan atas dasar perkongsian kuasa berasaskan muafakat dan perjuangan mewakili semua kaum di negara ini.
‘‘Dalam keadaan senario politik yang sudah berubah selepas pilihan raya umum 2008, saya hendak menegaskan bahawa BN masih berdaya maju dan ia juga adalah parti yang mesti dipilih.
‘‘Ini kerana BN adalah parti yang sudah teruji sepanjang masa. Takkan rakyat yang memilih kita setiap kali pilihan raya melakukan kesilapan dan mesti ada kebaikan terhadap dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan kebudayaan kita ,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, dalam situasi pengundi yang mempunyai pemikiran berbeza berikutan perkembangan teknologi maklumat, BN tidak harus membuang semua dasar perjuangannya sebelum ini.
‘‘Ini penting kerana masalah yang kita hadapi sekarang, bukan kerana BN tidak baik dan bukan kerana dasar perjuangannya tidak betul,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau, dasar muafakat BN perlu dikekalkan dan gabungan itu harus diperkukuhkan dengan meminda Perlembagaannya bagi membolehkan parti-parti lain menjadi rakan.
Dalam perkembangan berkaitan , Muhyiddin yakin sokongan pengundi terhadap BN boleh dipulihkan sekiranya persepsi salah rakyat bahawa dasar ekonomi, pendidikan dan sosial sekarang hanya mengutamakan kaum- kaum tertentu diperbetulkan.
Sumber Utusan Malaysia
Sunday, July 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment