Wednesday, March 31, 2010

Turun Padang Antara Ciri Penting Wakil Rakyat: PM

KUALA LUMPUR: Rajin turun padang, adalah antara empat ciri utama yang perlu ada pada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima secara menyeluruh oleh rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, seseorang wakil rakyat perlu rajin turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat di kawasan mereka.

"Bunyinya mudah tetapi kadang-kadang tidak juga dilakukan oleh kita dengan sepenuhnya," katanya dan menambah, seorang wakil rakyat juga mesti mudah dihubungi serta dapat menyelesaikan masalah rakyat.

"Mereka juga mesti sentiasa menunaikan janji sebagai wakil rakyat. Characteristic seperti ini patut ada sebagai wakil rakyat," katanya semasa melancarkan Malam Amal Badan Amal Selangor (Kasih), di Hotel Grand Dorsett, di Subang Jaya dekat sini, malam ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Yang DiPertua Kasih; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar; dan isteri Noh, yang juga merupakan Naib Yang Dipertua Kasih, Profesor Datin Seri Dr Aishah Salleh.

Najib berkata, isteri wakil rakyat dan bekas-bekas pemimpin juga perlu sentiasa bergerak aktif dalam badan-badan amal seperti Kasih kerana ia boleh 'complement' tugas dan tanggungjawab suami mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Program-program amal yang dilakukan ini selaras dengan apa yang selama ini ditekankan oleh kerajaan, selain merupakan salah satu prinsip utama yang ditekankan dalam Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan hari ini, katanya.

Beliau berkata, MEB menekankan supaya pembangunan negara bersifat 'inclusive', iaitu tidak ada mana-mana rakyat yang akan disisihkan, ditinggalkan dan dipinggirkan daripada mendapat manfaat pembangunan dan pembaharuan yang akan diusahakan di negara ini.

Bagi menjayakan pembangunan 'inclusive' itu, bukan sahaja kerajaan perlu menentu dan melaksanakan program-program amal, tetapi NGO seperti Kasih juga diharap dapat membantu mencapai objektif ini melalui aktiviti dan program anjurannya, kata Najib.

"Jadi melalui jaringan sosial seperti ini lebih ramai orang kurang upaya, golongan daif dan kurang upaya dapat dibantu, dan dengan ini pembangunan secara inclusive dapat dicapai," katanya. Perdana Menteri berkata wakil rakyat, sebagai suami pula perlu redha sekiranya para isteri tidak ada di rumah kerana membuat kerja-kerja amal.

"Kalau buat kerja amal kita redhalah...tetapi kalau perkara-perkara lain kena buat permohonan dululah," katanya yang disambut tepukan tetamu yang hadir.

Terdahulu Rosmah dalam ucapannya menyeru supaya lebih ramai isteri pemimpin dan mantan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Selangor tampil menjadi ahli Kasih yang kini hanya mempunyai keahlian kira-kira 70 orang.

Beliau berkata, Kasih mempunyai peranan yang penting dalam menzahirkan komitmen isteri para pemimpin untuk menyumbangkan bakti kepada rakyat Selangor, khususnya kaum wanita dan kanak-kanak bagi membantu mereka dalam aspek kebajikan dan kemasyarakatan.

"Janganlah masa kita berkuasa masing-masing berebut ke depan tetapi bila kuasa tiada di tangan puan-puan hanya duduk menyepi," katanya.

Rosmah berkata, isteri pemimpin mempunyai peranan untuk membantu suami sebagai pemimpin dalam mendekati dan mendampingi rakyat agar sama-sama memahami rintihan dan keluhan mereka.

Kepada para suami pula, Rosmah turut berharap dapat menggalakkan isteri masing-masing untuk mendaftar dan bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti Kasih.

Sempena majlis itu, sejumlah RM2.8 juta berjaya dikutip dan akan diagih-agihkan kepada golongan kurang bernasib baik di Selangor. - BERNAMA
Instaforex