Tuesday, July 21, 2009

Bagaiman Persepsi Anda Tentang Belia Berpolitik

Salam Saudara, saya suka untuk membawa membincangkan topik oleh Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di dalam blog beliau, berkaitan "Partisipasi Belia Dalam Politik".

Beliau mengupaskan beberapa fakta yang saya lihat dapat memberi permahaman tentang peranan belia dalam kegiatan pertubuhan secara formal dan non-formal serta trend belia berpolitik yang berbagai.

Kupasan-kupasan yang diberikan ini dilihat menjadi panduan untuk memahami kecenderongan belia itu dari segi kepelbagaian faktor seperti kehendak, persepsi, sosial, minat, sumbangan, pengaruh yang perlu diselami oleh kita sendiri.

Ikuti artikel beliau dibawah ini ...

Menyelami Partisipasi Politik Belia
Pada 4 Julai 2009, genaplah 100 hari saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu, tema utama yang saya bincangkan ialah partisipasi belia dalam politik. Antara topik yang sering timbul ialah sokongan belia terhadap BN, Presiden US Barack Obama dan calon Presiden Iran Mir Hossein Mousavi, serta politik kampus.

Perbincangan ini timbul melalui pelbagai cara: dalam mesyuarat, dialog dengan khalayak ramai, diskusi kumpulan kecil, sembang petang yang santai, e-kumpulan, emel, laman web, blog, facebook dan sebagainya.

Di sebalik segala perbincangan tersebut, saya berpendapat bahawa kita belum memahami sepenuhnya realiti sebenar partisipasi politik di kalangan belia. Setakat keputusan satu pilihan raya umum serta kajian dan statistik yang terhad, walaupun ia dapat menerangkan sebahagian daripada apa yang telah berlaku, tetapi ia tidak dapat menerangkan secara tepat akan kedudukan dan realiti sebenar pada masa hadapan.

Bagaimanakah belia kita melihat politik? Bagaimanakah mereka mendekati dan melibatkan diri dalam dunia politik? Di kalangan mereka, kumpulan manakah yang terlibat dalam politik secara aktif? Dan apakah iklim pembelajaran dan struktur peluang yang dapat memupuk partisipasi mereka dalam politik?

Dalam perbincangan tersebut, saya merujuk beberapa buah kajian yang pernah dilakukan di sini, misalnya oleh Merdeka Centre, dan di luar negara, misalnya oleh Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed), (2008), Youth and Political Participation in Europe.

Kita perlu bermula dengan memahami erti partisipasi. Ia berasal daripada perkataan Latin “pars” yang bermakna “bahagian” dan “capere” yang bermakna “mengambil”. Ia membawa maksud mengambil bahagian, melibatkan atau menceburkan diri dan berkongsi. Partisipasi dipengaruhi oleh, dan juga mempengaruhi, struktur, proses dan sumber tertentu. Matlamat akhirnya ialah perubahan sosial, iaitu melalui dan oleh para pelakunya.

Partisipasi berlaku dalam proses dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas; dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi dan politik; dalam pelbagai peringkat seperti individu dan berkumpulan, formal dan tak-formal, tempatan dan kebangsaan serta serantau dan antarabangsa.

Partisipasi politik pula boleh dilihat daripada pelbagai pendekatan dalam teori demokrasi. Antaranya ialah pendekatan realis yang berasaskan perwakilan dan pemerintahan elit demokratik dan melihat demokrasi bukan sebagai pemerintahan oleh rakyat tetapi sebagai pemerintahan oleh politikus yang mendapat persetujuan rakyat. Aktiviti utama partisipasi rakyat ialah pengundian dalam pilihan raya. Selepas itu, rakyat hanya menjadi penonton sahaja.

Sebaliknya, terdapat pula pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).

Partisipasi belia mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya. Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”.

Pada masa yang sama, selaku Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, saya menulis gagasan “penghakupayaan belia” (youth empowerment) yang kemudiannya digunakan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998).

Ketika menutup rasmi Forum Belia Ke-3 sempena Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya menggesa ketua-ketua negara anggota pertubuhan itu supaya melipatgandakan penghakupayaan belia sebagai salah satu pendekatan bagi memperkasa partisipasi belia, termasuk dalam politik.

Pra-syarat bagi kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik ialah dengan mengiktiraf tiga permintaan utama belia, iaitu: belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf, dan belia mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi mereka.

Bacaan lanjut lagi Klik Di sini


-- Pemuda Ranau

3 comments:

  1. Belia sepatutnya didedahkan kepada politik seawal 13 tahun supaya lebih peka kepada persekitaran di mana politik itu boleh diPLIKasikan untuk kemajuan bersama. Sayang sekali masih ramai belia yang tidak tahu membezakan politik dengan sosial. Org Ranau memang well educated academically but not socially. Itu cabaran yg perlu PEMUDA kena sahut & I strongly believe U all can do it. Good luck guys!!

    ReplyDelete
  2. Apa yang perlu adalah melibat belia dengan aktiviti berpersatuan atau kokurikulum dalam dan luar sekolah.

    Penglibatan dalam persatuan ini diharapkan dapat memupuk budaya kepimpinan, semangat berpasukan dan menghindar gejala aktiviti yang tidak sihat.

    ReplyDelete
  3. Saya amat bersetuju Belia dari usia 13 atau 15 tahun sudah d gelakkan berpersatuan dan ikut2an d dalam berpolitik, Tetapi seharusnya pemikiran mereka jangan d pesongkan kearah jurusan yg Negatif ini adalah memnyembahkan pemikiran yg negatif juga seandainya pemikiran mereka d menipulasi kearah satu tujuan. Cemabahkanlah fikiran pemuda2 ini kearah halatuju positif untuk Negara d samping memertabatkan keikhlasan dan ketelusan khasnya yg bukan meruntuhkan Negara...D Zaman sekarang ini terlalu banyak penerangan yg negatif kearah satu tujuan, Kita menipulasi pemikiran pemuda ini janganlah menjurus kesatu arah haluan sahaja. Kita mesti membuka minda pemuda dengan tidak menanamkan semangat "Double standard". Kerana pada masa ini dari media massa ke Menteri Penerangannya sendiri hanya menjurus kepada "MENGAMPU" ataupun "ANGKAT KAKI" kepada Kerajaan/Boss mereka sahaja. Inilah yg memuakkan Rakyat negara ini untuk menonton TV dan media cetak kerajaan. Jadi mcm mana kita nak memainkan peranan utk memperotakkan Belia/Pemuda Zaman sekarang ini secara jujur dan berkualiti?...

    ReplyDelete

Instaforex