Monday, August 2, 2010

1 Parlimen, 1 Koperasi

KOTA KINABALU: Satu kawasan Parlimen boleh mempunyai lebih dari satu koperasi pemborong barangan kawalan asalkan mereka layak dan memenuhi syarat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya cadangan untuk melaksanakan ‘1 koperasi pemborong barang kawalan, 1 parlimen’ diumumkan awal Julai ini dan sekarang ini dalam proses memanggil koperasi-koperasi yang berminat untuk berbincang bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Saya kata ‘1 koperasi pemborong barang kawalan, 1 parlimen’, itu minimum, kalau ada lagi yang layak, lebih pun tak apa.

“Tapi ini masih lagi tertakluk kepada syarat pemilihan walaupun ada lesen, seperti mempunyai kewangan yang kukuh dan boleh menyediakan pengangkutan serta mempunyai stor,” katanya selepas merasmikan ‘Coop Fest’ Zon Sabah 2010, di sini kelmarin.

Sebelum ini, Ismail berkata mereka melaksanakan konsep satu koperasi pemborong bagi setiap negeri, ataupun dua koperasi pemborong bagi negeri-negeri besar seperti Sabah, Sarawak dan Pahang.

Namun melihat kegiatan penipuan agak kurang di kalangan koperasi kerana mereka bukan menjalankan perniagaan untuk diri sendiri, maka kementerian telah menyuarakan hasrat untuk menambah ke setiap Parlimen iaitu 222 koperasi pemborong barang-barang kawalan termasuklah gula, gandum, minyak masak dan sebagainya.

“Setakat ini kita dah luluskan 24 koperasi pemborong barang-barang kawalan seluruh Malaysia, jadi melalui program setiap Parlimen ini kita akan perluaskan lagi.

“Sekarang kita dah mula, sesiapa yang berminat boleh memohon kepada kementerian melalui negeri-negeri, dan mereka akan syorkan kepada ibu pejabat untuk kelulusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian juga bercadang untuk mewajibkan kursus jangka pendek untuk semua ahli lembaga pengarah koperasi selaras dengan teras melahirkan ‘pemilik’ dan pemimpin koperasi yang profesional.

“Sekarang ini tak wajib, jadi kita nak wajibkan supaya sekurang-kurangnya mereka tahu bagaimana nak menguruskan mesyuarat, audit akaun dan sebagainya. Sasaran kita adalah mengurangkan gejala salah laku di kalangan pemilik tidak lebih daripada lima peratus, kurangkan ketidakpatuhan kepada peraturan SKM,” jelas beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata koperasi-koperasi di Sabah telah memainkan peranan dalam menstabilkan harga barangan pengguna khususnya di kawasan pendalaman.

Mengambil contoh sebuah koperasi induk di Keningau melalui program pemborongan dan peruncitan, beliau berkata koperasi ini telah menyelaras pembelian barangan pengguna secara pukal bagi koperasi-koperasi peserta, sekaligus mengurangkan harga belian dan memanfaatkan anggota koperasi dan penduduk setempat.

Sumber: New Sabah Times

No comments:

Post a Comment

Instaforex