Thursday, February 26, 2009
Tingkatkan pendapatan golongan miskin
Sumber: Utusan Malaysia
TELUK INTAN 25 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua kementerian dan jabatan kerajaan terbabit agar menjalankan program meningkatkan pendapatan golongan miskin dalam usaha membantu mereka berdepan dengan suasana kelembapan ekonomi pada masa ini.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti golongan tersebut bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.
“Usaha-usaha sedang dijalankan oleh kementerian untuk memastikan yang benar-benar berhak sahaja akan mendapat bantuan daripada Program Jaringan Sosial ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan Kad Jaringan Keselamatan Sosial Malaysia dan Bantuan Kebajikan Persekutuan di Arena Square di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.
Abdullah berkata, sehingga kini, pihak KPWKM telah menerima 92,654 permohonan bantuan dan daripada jumlah itu, sebanyak 40,561 permohonan telah diluluskan.
Kata beliau, sebanyak 15,358 permohonan tidak diluluskan manakala 36,735 masih dalam siasatan pihak kementerian.
Perdana Menteri berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima sebanyak 44,643 permohonan bantuan daripada program e-Kasih kendalian Jabatan Perdana Menteri.
Daripada jumlah itu, menurut Abdullah, sebanyak 13,560 permohonan diluluskan dan 12,723 permohonan ditolak manakala bakinya iaitu 26,283 permohonan sedang disiasat.
“Kerja-kerja mengenal pasti individu yang layak menerima bantuan akan terus berjalan dari semasa ke semasa malah bagi sesetengah kawasan, bantuan akan terus diberi bagi mereka yang telah dikenalpasti.
“Kita dapati dalam keadaan ekonomi yang susah sekarang, tentu sekali keluarga miskin sedang berada dalam tekanan dan mungkin rasa gelisah, jadi bantuan ini diharap dapat melegakan mereka,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan pada masa yang sama turut memberi bantuan kepada golongan miskin di negara ini iaitu dalam bentuk penyediaan rumah, bantuan makanan, kesihatan dan pertanian.
Virus Saluran 4 dan 5 - Saluran Pengundi Muda?
Saya tertarik dengan rencana ini. Saya sekadar ingin bertukar fikiran adakah trend ini bakal mengubah persepsi pengundi muda akan datang terutama sekali di Ranau, Sabah. Kita berharap pemimpin-pemimpin kita senantiasa bersedia sepenuh jiwa raga menjadi pemimpin yang berjiwa rakyat memastikan tanggungjawab & amanah yang diberikan memberi kebaikan kepada rakyat. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang tapi pastikan gagasan dan wawasan itu dirancang agar itu boleh memberi impak yang berkesan kepada pembangunan daerah kita.
Teruskan pembacan kenapa kita sering memperkatakan Saluran 4 & 5 iaitu Saluran Pengundi Muda tidak memihak kepada BN. Mungkin ada sesuatu yang perlu dikaji dan difahami sedalam-dalamnya. Harap orang-orang muda kita di Ranau tidak terikut trend ini, kita berdoa agar mereka senantiasa berdiri di belakang BN.
Zulkiflee Bakar (Mingguan Malaysia)
SENARIO yang berlaku ketika proses pengiraan undi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu agak menarik untuk direnung.
Ini kerana ketika proses pengiraan bermula, Barisan Nasional (BN) dilihat mendahului kerana majoriti undi saluran 1,2 dan 3 menyebelahi parti itu. Bagaimanapun situasi berubah apabila kotak undi saluran 4 dan 5 dikira, BN tewas satu demi satu sebelum diisytiharkan kalah.
Namun begitu kegagalan BN menguasai saluran 4 dan 5 yang dianggap suara generasi muda bukanlah suatu kejutan, sebaliknya ia sememangnya sudah dijangkakan.
Malah itu merupakan kali kedua BN tewas dalam pilihan raya kecil akibat saluran berkenaan, sebelumnya BN kecundang di Permatang Pauh.
Kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen serta kehilangan kuasa di Kedah, Perak dan Selangor juga dikaitkan dengan saluran tersebut.
Malah di Kelantan, pengundi muda dikatakan sama sekali tidak menyebelahi BN sehingga memungkinkan Pas terus berkuasa di negeri tersebut.
Generasi muda yang menguasai undi di saluran 4 dan 5 mempunyai pemikiran berbeza.
Perkembangan teknologi maklumat yang berkembang pesat telah membolehkan mereka bukan sahaja mendapat sebarang perkembangan dengan cepat malah boleh diracuni fikiran mereka oleh permainan kotor pembangkang.
Persepsi yang paling mencabar untuk dihapuskan oleh BN di kalangan generasi muda ialah kalau BN cakap itu propaganda dan kalau pembangkang cakap itu kebenaran.
Mengulas isu saluran 4 dan 5 ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, generasi mudah tidak mahu mendekati BN kerana mereka melihat parti itu termasuklah UMNO seperti tidak mewakili aspirasi mereka sebaliknya hanya untuk kepentingan orang-orang yang lebih dewasa khususnya golongan elit.
''Kepada mereka, UMNO sudah menjadi terlalu elitis, malah golongan muda dalam BN dan UMNO juga sangat elitis dengan gaya hidup 'super newah' dan umpama selebriti," katanya ketika dihubungi.
....Dalam tinjauan penulis di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, baru-baru ini, persepsi ini juga wujud di kalangan penduduk.
Mereka mengaitkan UMNO dengan gaya hidup mewah, mereka muak dengan gelagat sesetengah pemimpin Pemuda yang dilihat terlalu elit apabila masuk ke kampung-kampung.
Lebih memburukkan lagi keadaan melalui propaganda yang dilakukan oleh pembangkang tanpa mahu mengkaji sama ada sesuatu dakwaan itu benar atau tidak, pemimpin-pemimpin BN terutamanya UMNO sering dikaitkan dengan rasuah, skandal dan sebagainya.
Mungkin ia adalah persepsi tetapi akibat persepsilah BN hampir kecundang dalam pilihan raya umum lalu.
Semua ini tidak menguntungkan BN, persepsi buruk masih menebal di kalangan rakyat terhadap parti itu terutamanya generasi muda yang menguasai saluran 4 dan 5 masih menebal.
BN akan terus menghadapi masalah jika persepsi ini tidak ditangani dengan betul.
Keadaan menjadi semakin mencabar apabila tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh pemimpin-pemimpin muda dalam BN untuk mendekati pengundi-pengundi muda.
''Pemimpin-pemimpin atas BN dan UMNO sudah lama disengaged dengan orang muda di institut pengajian tinggi dan kolej-kolej, tiada dialog dua hala dan interaksi dengan golongan muda," kata Dr. Mohamed Mustafa.
Bagi parti tersebut, masalah lebih ketara ialah generasi muda tidak melihat mana-mana pemimpin parti itu yang sesuai atau setaraf dengan ketokohan yang ada kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jika dulu walaupun mereka tidak menyukai BN dan UMNO tetapi berikutan ketokohan yang ada kepada Dr. Mahathir mereka sedia menyebelahi BN begitu juga kaum bukan Melayu.
Namun sekarang suasana sudah berbeza. Walaupun apa yang dikatakan oleh generasi muda mengenai barisan kepimpinan BN dan UMNO hanyalah persepsi tetapi tafsiran seumpama itu tidak harus dibiarkan.
''Kita terpaksa akui bahawa kepetahan bercakap yang ada kepada pembangkang tidak ada kepada sebahagian besar pemimpin BN, walaupun apa yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah retorik dan hipokrit tetapi macam mana hendak kita hendak yakinkan rakyat, ini soalnya," kata seorang pemimpin Pemuda UMNO bertaraf Ahli Parlimen ketika dihubungi.
Sebagai contohnya, isu lompat parti, ia hakikatnya dipelopori oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi apabila ada ahli pembangkang beralih arah menyokong BN, pembangkang berjaya meracuni pemikiran rakyat untuk mempercayai ia perbuatan tidak bermoral tetapi semasa mereka menguar-uarkan 'mimpi 16 September' bagi menumbangkan kerajaan BN tidak pula soal ini ditimbulkan?
Begitu juga soal moral, apabila pemimpin BN didapati melakukan perbuatan yang bertentangan dengan moral, mereka menyerang habis-habisan sehinggakan rakyat melihat pemimpin BN terlalu jijik tetapi apabila ia dikaitkan dengan pembangkang, ia akan dianggap satu fitnah dan konspirasi politik paling jahat dan keji.
Tetapi BN tidak mampu menangani ini semua, generasi muda amat dekat dengan internet, membaca blog setiap hari adalah rutin mereka tetapi BN tidak mempunyai blog yang benar-benar berwibawa menangkis pembangkang.
Sebaliknya pembangkang bukan sahaja mempunyai ribuan blog yang menyokong mereka, malah 'memiliki' media on line yang menyebelahi mereka.
Kita akui bahawa BN cuba melawan melalui internet tetapi ia tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh, kalau pun wujud blog tersebut ia ibarat tempat melepaskan geram sahaja, lebih malang lagi ada sesetengah blog yang diketahui diasaskan oleh pemimpin UMNO bertindak 'membelasah' pemimpin UMNO sendiri.
Kesudahannya rakyat terutamanya generasi muda menjadi keliru dan membolehkan mereka menjadi yakin bahawa apa yang diperkatakan oleh pembangkang terhadap sesetengah pemimpin UMNO adalah betul......
Wednesday, February 25, 2009
Gambar calon UMNO pada kertas undi
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO Mac ini, tidak perlu risau sekiranya kurang dikenali oleh perwakilan kerana wajah mereka akan tertera pada kertas undi.
Ia dicadang diperkenalkan buat pertama kalinya pada pemilihan kali ini.
Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen. (B) Datuk Husainay Hashim berkata, langkah itu bagi memudahkan perwakilan mengingati wajah calon-calon yang bertanding memandangkan jumlah mereka terlalu ramai.
“Ini juga satu langkah yang baik untuk mereka yang baru menjadi calon,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, langkah itu dicadangkan oleh Sekretariat Ibu Pejabat UMNO dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO semalam.
“Jawatankuasa itu ada memberi beberapa komen dan kita akan cuba membetulkannya, kita tidak mahu ada sebarang kekurangan langsung,” katanya.
Menurut beliau, keputusan mengenai penggunaan gambar calon pada kertas undi akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi UMNO (MT).
Jelasnya, beberapa siri percubaan telah dijalankan dan pandangan beberapa pihak sudah pun diambil kira dalam rancangan menyertakan gambar calon itu.
Katanya, penyertaan gambar calon bukan sekadar untuk jawatan MT tetapi juga untuk semua jawatan melibatkan sayap-sayap parti.
Seramai 269 calon akan bertanding merebut pelbagai jawatan dalam MT dan ketiga-tiga sayap parti itu pada pemilihan yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.
Jawatan yang akan dipertandingkan untuk MT ialah Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli MT.
Sumber: Utusan Malaysia
Tuesday, February 24, 2009
Majlis Perasmian Kompleks Pusat Islam Dakwah Kundasang, Ranau
Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam melihat syiar Islam dapat disebarkan kepada rakyat yang mana agama Islam itu sesungguhnya membawa kepada perpaduan dan kecintaan terhadap penciptanya.
Gambar yang disediakan adalah sebahagian sahaja semasa majlis ini dijalanakan.
Saturday, February 21, 2009
Pemuda Umno Sabah hantar empat calon tanding Exco Pemuda Umno Pusat
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah memutuskan akan menghantar empat calon dalam pertandingan Exco Pemuda Umno Pusat.
Mereka terdiri daripada Ketua Pemuda Kalabakan, Gasing Haji Saling, Mantan Ketua Pemuda Umno Semporna, Nixon Haji Abd Habi, Ketua Pemuda Umno Kota Kinabalu, Baharul Razha Haji Chuprat dan Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Haji Jafar.
Ketua Pemuda Umno Negeri, Datuk Japlin Akim, berkata pihaknya juga akan mengadakan beberapa program bagi memperkenalkan calon yang bertanding kepada perwakilan pada 28 Februari ini.
“Kita akan membawa mereka untuk mendekati pemimpin akar umbi dan perwakilan di setiap bahagian,” katanya.
Berkata dalam Mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sabah, di Bangunan Umno di sini, Japlin berkata dalam mesyuarat berkenaan pihaknya turut membincangkan tentang persediaan Pemuda Umno Negeri ke Perhimpunan Agung Umno Pusat di Kuala Lumpur pada Mac depan.
“Dalam persidangan itu nanti, kita juga telah memutuskan Exco Pemuda Hasnol Ayub sebagai wakil Pemuda Umno untuk berucap dalam perhimpunan itu nanti.
“Kita juga turut membincangkan persiapan yang lebih rapi sekiranya Majlis Tertinggi memutuskan pilihan raya akan diadakan di Pensiangan,” katanya yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Infrastuktur.




