Thursday, February 26, 2009

Tingkatkan pendapatan golongan miskin

Syukur jika hasrat ini dapat direalisasikan sepenuhnya.

Sumber: Utusan Malaysia

TELUK INTAN 25 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua kementerian dan jabatan kerajaan terbabit agar menjalankan program meningkatkan pendapatan golongan miskin dalam usaha membantu mereka berdepan dengan suasana kelembapan ekonomi pada masa ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti golongan tersebut bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.

“Usaha-usaha sedang dijalankan oleh kementerian untuk memastikan yang benar-benar berhak sahaja akan mendapat bantuan daripada Program Jaringan Sosial ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Kad Jaringan Keselamatan Sosial Malaysia dan Bantuan Kebajikan Persekutuan di Arena Square di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Abdullah berkata, sehingga kini, pihak KPWKM telah menerima 92,654 permohonan bantuan dan daripada jumlah itu, sebanyak 40,561 permohonan telah diluluskan.

Kata beliau, sebanyak 15,358 permohonan tidak diluluskan manakala 36,735 masih dalam siasatan pihak kementerian.

Perdana Menteri berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima sebanyak 44,643 permohonan bantuan daripada program e-Kasih kendalian Jabatan Perdana Menteri.

Daripada jumlah itu, menurut Abdullah, sebanyak 13,560 permohonan diluluskan dan 12,723 permohonan ditolak manakala bakinya iaitu 26,283 permohonan sedang disiasat.

“Kerja-kerja mengenal pasti individu yang layak menerima bantuan akan terus berjalan dari semasa ke semasa malah bagi sesetengah kawasan, bantuan akan terus diberi bagi mereka yang telah dikenalpasti.

“Kita dapati dalam keadaan ekonomi yang susah sekarang, tentu sekali keluarga miskin sedang berada dalam tekanan dan mungkin rasa gelisah, jadi bantuan ini diharap dapat melegakan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan pada masa yang sama turut memberi bantuan kepada golongan miskin di negara ini iaitu dalam bentuk penyediaan rumah, bantuan makanan, kesihatan dan pertanian.

No comments:

Post a Comment

Instaforex