KUALA LUMPUR 25 Feb. – Calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO Mac ini, tidak perlu risau sekiranya kurang dikenali oleh perwakilan kerana wajah mereka akan tertera pada kertas undi.
Ia dicadang diperkenalkan buat pertama kalinya pada pemilihan kali ini.
Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen. (B) Datuk Husainay Hashim berkata, langkah itu bagi memudahkan perwakilan mengingati wajah calon-calon yang bertanding memandangkan jumlah mereka terlalu ramai.
“Ini juga satu langkah yang baik untuk mereka yang baru menjadi calon,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, langkah itu dicadangkan oleh Sekretariat Ibu Pejabat UMNO dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO semalam.
“Jawatankuasa itu ada memberi beberapa komen dan kita akan cuba membetulkannya, kita tidak mahu ada sebarang kekurangan langsung,” katanya.
Menurut beliau, keputusan mengenai penggunaan gambar calon pada kertas undi akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi UMNO (MT).
Jelasnya, beberapa siri percubaan telah dijalankan dan pandangan beberapa pihak sudah pun diambil kira dalam rancangan menyertakan gambar calon itu.
Katanya, penyertaan gambar calon bukan sekadar untuk jawatan MT tetapi juga untuk semua jawatan melibatkan sayap-sayap parti.
Seramai 269 calon akan bertanding merebut pelbagai jawatan dalam MT dan ketiga-tiga sayap parti itu pada pemilihan yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.
Jawatan yang akan dipertandingkan untuk MT ialah Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli MT.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment