Monday, October 25, 2010

PM: Perhimpunan Agung Titik Permulaan Model Politik Baru

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Perhimpunan Agung Umno 2010 menjadi titik permulaan kepada budaya dan model baru politik Umno untuk lebih terbuka dan lebih inklusif.
Perdana Menteri berkata perhimpunan kali ini, selepas setahun Perlembagaan Umno dipinda, perlu disusuli dengan perubahan daripada segi budaya dan tindakan seluruh anggota parti.
“Peranan parti diakar umbi mesti bersifat inklusif dan dapat menunjukkan imej yang disenangi rakyat (dan) sentiasa dekat di hati rakyat (melalui) pelbagai aktiviti, dan kita dapat tunjukkan Umno merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di akar umbi,” katanya.
“Peranan parti diakar umbi mesti bersifat inklusif dan dapat menunjukkan imej yang disenangi rakyat (dan) sentiasa dekat di hati rakyat (melalui) pelbagai aktiviti, dan kita dapat tunjukkan Umno merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.
Dalam taklimatnya selama sejam itu, Najib berkata beliau menekankan cabaran-cabaran yang dilalui parti dan usaha pemulihan ekonomi negara yang telah berjaya ditangani.
Ditanya mengenai penerimaan anggota Umno terhadap usaha transformasi parti itu, Presiden Umno berkata perkara itu akan mengambil masa kerana ia melibatkan perubahan dalam diri anggota sendiri.
“Transformasi manusia memakan masa, transformasi fizikal mudah. Semua orang tahu transformasi manusia suatu yang amat mencabar, tetapi kita akan cuba melakukannya. Saya melihat ada yang respons, dan ada yang memakan masa lagi untuk menghayati sepenuhnya (transformasi itu).
“Tapi (kita) jangan kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, dan manusia, tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat,” katanya.
Najib berkata beliau juga mengingatkan anggota parti supaya mengukuhkan perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dan “kita akan mulakan perjalanan ini dengan usaha mengukuhkan parti kita, penyatuan di peringkat bahagian adalah amat penting dalam pengukuhan parti.”
Najib berkata Umno akan terus mempertahankan prinsipnya yang sentiasa bertimbang rasa dan adil kepada semua kaum.
“Ini satu prinsip yang kita pakai sejak dahulu, lagi sejak zaman (Perdana Menteri Pertama) Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) lagi dan kita amalkan prinsip yang sama, cuma yang berbeza ialah memperincikan strategi yang kita lakukan, tetapi prinsip dan falsafah adalah sama,” katanya.
Menjawab soalan mengenai pemilihan Parti Keadilan Rakyat di peringkat cabang yang kucar-kacir, manakala Umno pula bakal mengadakan pemilihan parti yang memperuntukkan jumlah pemilih yang ramai daripada sebelum ini, Najib berkata:
“Kita ada cara kita sendiri. Kita akan uruskan perkara ini. Kita sedar tidak mudah dan pandang ringan, tapi saya percaya ahli Umno akan menghormati disiplin dan tunjukkan imej yang baik.”-Bernama
SUMBER: BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

Instaforex