Sunday, June 21, 2009

Mampukah Pementasan Teater berunsur sejarah dapat memupuk minat belia di Ranau?

Baru-baru ini, saya telah menghadiri satu pementasan teater bertajuk "Tumpalak Rundum" yang berunsur sejarah orang Murut di Tenom. Teater ini telah dipentaskan di Dewan Besar, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 19 Jun 2009 yang lalu.

Teater ini memaparkan konflik yang mencetuskan pemberontakan Rundum pada tahun 1915 oleh orang Murut yang diketuai oleh Ontoros semasa penjajahan British di Borneo Utara di Tenom. Pementasan teater ini diarah oleh Sdr Hasmin Azroy Abdullah yang merupakan hasil karya oleh Encik Abd Karim Gullam & Nurul Syafiqa Abdullah @ Stella.

Saya suka untuk menyatakan di sini bahawa tenaga produksi yang terdiri daripada pelakon, krew teknikal, dan pengarah kebanyakan dianggotai oleh belia-belia muda. Saya sempat menemubual mereka tentang penglibatan mereka ini. Apa yang mengujakan saya bahawa semua ini didorongi oleh minat, komitmen dan semangat tanpa mengharapkan sesuatu yang berbentuk wang ringgit. Apa yang penting adalah kepuasan dalam menjayakan sesuatu pementasan.

Disebalik kumpulan pementasan ini, tulang belakang kumpulan yang diberi nama Kumpulan Seni Teater Asli Tenom atau dikenali sebagai "Santara" ditunjangi cara pengurusan yang baik merangkumi aspek kebajikan ahli, peralatan, latihan dan komitmen serta sokongan penuh oleh penasihat kumpulan iaitu Sdr Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Tenom merangkap Pengerusi Biro Kesenian & Kebudayaan UMNO Malaysia dan Negeri Sabah.

Klip video semasa pementasan teater tersebut:


Perkara ini membuat saya berfikir sejenak bahawa Ranau juga mempunyai bahan-bahan sejarah yang boleh diteaterkan. Belia-belia kita juga perlu dilibatkan dengan aktiviti seperti ini agar aktiviti-aktiviti kosong yang tidak sihat dapat diisi. Saya juga ada berbincang dengan bekas pelakon teater bagi mengetahui perkembangan semasa teater di Ranau. Tapi, khabaran tidak begitu mengembirakan dan kurang aktif. Berbanding dahulunya, antara nama yang dikenali seperti Kumpulan Aki Nabalu dan Kumpulan Gade (Gabungan Anak Desa) yang kerapkali mewarnai acara-acara kebudayaan dan kesenian dari Ranau mahupun luar Ranau.

Sebenarnya, Teater boleh diketengahkan untuk menarik minat golongan muda di Ranau sebagai salah satu pilihan aktiviti kebudayaan, yang mana bakat-bakat terpendam dapat ditonjolkan, perpaduan belia disemarakkan dan memupuk masyarakat belia yang tahu tentang sejarah nenek moyang daerah sendiri.

Berjaya atau tidak itu jangan difikirkan dahulu, apa yang perlu adalah membentuk kumpulan pengurusan yang dapat memulakan usaha ini disamping turut mendapat kerjasama pihak sekolah, agensi kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya.

Akhir kata, kita berharap sesuatu perancangan yang holistik dapat diambil tindakan memandangkan program kebudayaan & kesenian sebenarnya dibawah peranan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar.

1 comment:

  1. ya saya ada melihat festival teater malaysia yang di adakan pada 17-21hb jun,bertempat di Dewan resital,Sekolah pengajian seni..emm apa kata kita belia di ranau bergiat seni dalam teater....

    ReplyDelete

Instaforex