Monday, June 15, 2009

Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.myAlamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya

Sumber: belia.org.my

BELIA adalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golongan ini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu.

Justeru, sebagai menghargai sokongan serta sumbangan penting golongan ini kepada negara sejak lebih 51 tahun lalu, maka setiap tahun kerajaan meraikan mereka menerusi sambutan Hari dan Minggu Belia Negara yang tetapkan pada setiap 15 Mei, seperti pada hari ini.

Tahun ini, sambutan perhimpunan berpusat di Melaka, negeri yang kaya dengan sejarah dan paling aktif dengan aktiviti belia. Sambutan awal program ini sebenarnya sudah dilancarkan di Stadium Utama Kangar pada 3 Mei lalu. Bagaimanapun sempena perhimpunan hari ini, acara di Melaka bermula sejak 13 Mei lalu dan berakhir Ahad ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka itu, menyaksikan penganjuran pelbagai acara menarik. Antaranya Karnival Remaja, Festival Rekreasi dan Sukan Belia Kebangsaan serta Konvensyen Belia Kebangsaan.

Kemuncak sambutan tentunya, perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Perhimpunan kali ini bertemakan `Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan'.

Dianggarkan kira-kira 20,000 pemimpin dan wakil pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negara hadir pada majlis ini. Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Perhimpunan Belia Sedunia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dijangka hadir.

Pada awalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan dan sekali gus menyampaikan amanat penting pada majlis ini. Namun beliau terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di Menado, Sulawesi Utara, Indonesia. Tahun lalu, perhimpunan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia, mewakili pelbagai pertubuhan atau persatuan dari seluruh negara. Perasmian program bertemakan `Belia Cemerlang, Negara Terbilang' itu disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai imbasan, antara lain, dalam amanahnya yang terakhir sebagai Perdana Menteri, Abdullah mahu golongan belia di negara ini menanam sikap untuk sentiasa maju, hebat dan bersemangat tinggi agar dapat mencapai kejayaan dalam setiap bidang diceburi.

“Dengan sikap untuk sentiasa maju dan disertakan dengan ilmu atau kemahiran, belia akan mampu menghadapi saingan yang semakin mencabar. Kita tidak mahu belia tidak bekerja atau terbabit dalam kerja tidak berfaedah... kita mahu tenaga muda ini diperkasakan dan sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Perhimpunan secara besar-besaran di Ballroom MITC, Melaka pada petang ini sememangnya sangat dinantikan pelbagai pihak, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli belia sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah yang berkumpul di negeri kelahiran Hang Tuah itu sejak beberapa hari lalu.

Sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada awal April lalu, tidak banyak diketahui mengenai hala tuju belia negara berlandaskan konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri. Malah pada peringkat kementerian sendiri, dikatakan belum ada pendekatan paling tepat mengenainya.

Apa lagi dengan pelbagai kes membabitkan golongan belia hari ini yang agak membimbangkan. Misalnya, terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas.

Itu tidak termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah, ragut, pecah rumah, curi kenderaan, gangsterisme, seks rambang atau sumbang mahram termasuk membabitkan remaja di peringkat sekolah yang kebelakangan ini banyak disiarkan media. Kes sebegini tentunya amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Ahmad Shabery sebelum ini ada menyentuh konsep 1Malaysia ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009 di Kangar. Selepas majlis itu, beliau mengumumkan mengenai konsep ‘Satu Belia’.

Antara lain, beliau berkata, kejayaan konsep 1Malaysia sukar untuk dijayakan jika belia yang kini berjumlah kira-kira 12 juta, tidak bersatu. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, katanya, cara berfikir golongan muda juga perlu ditukar dan ia sepatutnya dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi.

“Belia seharusnya bersatu dan berfikir sebagai satu. Mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa depan. Kita patut mengajar mereka supaya menjadi warganegara yang mencintai dan mengasihi negara sebab mereka adalah mewakili masa depan.

“Sebab itu, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan akan menjadi realiti, malah mampu dicapai dengan cepat jika belia bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui pada satu majlis di Melaka baru-baru ini berkata, amanat yang bakal disampaikan Muhyiddin pada petang ini sangat penting terutama kepada belia, bagi memahami apa yang ingin dibawakan pucuk pimpinan menerusi konsep 1Malaysia.

Katanya, ini adalah amanat sulung pucuk pimpinan negara kepada belia dalam satu acara yang menghimpunkan semua pemimpin belia, sejak kepemimpinan baru mengambil alih.

“Sebab itu, saya berharap, perhimpunan ini bakal menjadi titik pertemuan kepada seluruh kepemimpinan belia seluruh negara untuk memahami konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri. Amanat ini penting untuk mengajak belia bergerak atas satu nada dan lebih penting, atas satu pemahaman.

“Selepas daripada itu, apabila mereka kembali ke tempat atau kawasan masing-masing, pemimpin atau wakil belia yang hadir ini akan membawa satu suara yang sama dan bukan lagi atas andaian serta pemahaman berbeza-beza. Belia perlu sepakat mencari jalan untuk sama-sama menjayakan konsep 1Malaysia ini,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Nizam Omar berkata, pertubuhan itu sememangnya menantikan amanat yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri terutama berkaitan konsep 1Malaysia.

“Kita berharap akan ada satu perkhabaran gembira disampaikan dalam amanat Timbalan Perdana Menteri nanti, sama ada untuk belia di kampung atau di bandar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Instaforex