Monday, April 20, 2009

Membudayakan Semangat ‘Mitatabang’

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan, mahu rakyat Sabah membudayakan semangat “mitatabang” (bekerjasama) bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) berkata semangat seumpama itu, yang sekian lama menjadi amalan setiap perayaan Pesta Kaamatan, turut menyumbang kepada perpaduan kaum yang merupakan kunci utama kemajuan dan keamanan.

“Semangat mitatabang ini masih utuh di kalangan masyarakat kita dan semangat ini perlu dipertahankan. Kalau dulu, semangat mitatabang dapat dilihat dalam konteks menyediakan makanan di mana setiap keluarga membawa makanan masing-masing untuk dinikmati bersama semasa mengadakan Pesta Kaamatan.

“Kini, semangat mitatabang terserlah melalui kerjasama serta sokongan dalam pelbagai bentuk termasuk memberi sumbangan tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan Pesta Kaamatan,” katanya.

Pairin berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Mukim Lintuhun anjuran gabungan 15 kampung di Balairaya Kampung Pomotodon, dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata kerajaan Sabah memberi pengiktirafan yang tinggi kepada sambutan Pesta Kaamatan dengan mengisytiharkan dua hari iaitu pada 30 dan 31 Mei setiap tahun sebagai cuti umum bagi membolehkan masyarakat di negeri ini menyambut perayaan itu.

No comments:

Post a Comment

Instaforex