Tuesday, April 28, 2009

Pelajari bahasa ibunda, kata Pairin

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan mahu masyarakat KadazanDusun mempelajari bahasa ibunda dari suku masing-masing kerana ia mempunyai fungsi dan peranan yang penting.

Huguan Siou dan Presiden Persatuan Kebudayaan itu berkata, penguasaan bahasa ibunda itu sendiri di kalangan generasi muda amat penting memandangkan pengaruh zaman moden yang begitu kuat sekali sehingga menghakis identiti bangsa itu sendiri.

“Bahasa Kadazandusun mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri khususnya dalam memahami cara hidup, kebudayaan, kesenian dan latar belakang yang banyak terkandung dalam kesusasteraan Kadazandusun seperti cerita ‘tangon-tangon’.”

“Kita perlu memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ianya mempunyai implikasi tehadap bangsa kita di masa akan datang sekiranya tidak ditangani lebih awal. Jangan sehingga bahasa kita dilupakan kerana bahasa melambangkan bangsa, hilang bahasa keturunan kita turut hilang identiti, maka bangsa menjadi tidak bermaya lagi,” jelasnya.

“Dari semasa ke semasa kita perlu diberi peringatan agar kebudayaan dan adat istiadat tidak akan terus dilupakan,” ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Patau anjuran gabungan lapan buah kampung di Balairaya Kampung Bambangan, dekat sini pada Jumaat.

Turut hadir Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Laiwon Dalus, Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran, Dr Joanis Yajuni, Pengerusi Perhubungan KDCA Tambunan, Daniek Kinsik dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Yuing Pandong.

Katanya, di dalam tangon-tangon (cerita) terkandung segala khazanah bangsa, kepandaian, budaya, adat resam, sejarah serta susur galur bangsa KadazanDusun selain mempunyai unsur teladan dan tauladan kepada generasi muda. Semuanya patut dipegang kuat dan diperturunkan kepada genarasi muda.

Menurut Pairin, pada masa dahulu, ibu bapa akan bercerita kepada anak-anak sebelum masuk tidur dan ini merupakan satu bentuk pendidikan tidak formal kepada anak-anak untuk mempelajari bahasa, memahami adat-istiadat, memperturunkan kemahiran disamping dapat mengeratkan hubungan kasih sayang diantara anak-anak dan ibu bapa.

Meskipun bahasa Kadazandusun diajar di sekolah dan peringkat pengajian tinggi termasuklah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut menawarkan pengajian bahasa ini bagaimanapun masih kurang daripada kalangan bangsa KadazanDusun yang ingin mempelajarinya.

Pairin menegaskan, sebagai pemunya (penutur) bahasa tersebut perlu memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa KadazanDusun. Kurang penggunaan bahasa ibunda dalam pertuturan seharian di rumah merupakan antara punca mengapa generasi hari ini gagal menguasai bahasa KadazanDusun.

Justeru itu, katanya, rumah haruslah menjadi sekolah pertama untuk anak-anak kita mempelajari bahasa ini dan ibu bapa mempunyai peranan untuk mengajar anak-anak seterusnya membudayakan bahasa ibunda sebagai bahasa komunikasi di rumah.

-- New Sabah Times

No comments:

Post a Comment

Instaforex