Wednesday, April 15, 2009

Persidangan Tahunan Cawangan Dan Bahagian 2009

Sumber: Umno Online

KUALA LUMPUR, 15 April – Ibu Pejabat UMNO mengeluarkan pekeliling memaklumkan bahawa tarikh-tarikh Persidangan Tahunan Cawangan dan Perwakilan Bahagian termasuk Pergerakan Sayap-sayap bagi tahun 2009.

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Persidangan Tahunan bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:

1. Persidangan Tahunan Cawangan 2009

1.1. Cawangan-cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunannya bila-bila masa mulai hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.

1.2. Cawangan-cawangan yang telah berdaftar pada atau sebelum 31 Disember 2008 serta telah memperolehi Sijil Pendaftaran Cawangannya sahaja yang layak mengadakan Persidangan Tahunannya untuk tahun 2009.

1.3. Tarikh bagi semua Persidangan Tahunan Cawangan hendaklah ditentukan oleh Bahagian setelah berunding dengan Cawangan berkenaan.

1.4. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.3 “Persidangan Cawangan hendaklah diadakan pada satu tempat yang berkecuali dalam Cawangan berkenaan, melainkan jika tidak ada kemudahan di situ maka Persidangan bolehlah diadakan di mana-mana tempat yang munasabah termasuk di luar Cawangan setelah berunding dengan Bahagian”.

1.5. Setiausaha Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Persidangan Tahunan Cawangan.

1.6. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh-tarikh persidangan Tahunan Cawangan di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

1.7. Persidangan Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan
iii. Ahli-ahli Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.

1.8. Sesuai dengan Fasal 17.5 Perlembagaan UMNO, di antara tugas-tugas Persidangan Cawangan ialah:-

FASAL 17.5.6


Memilih Wakil-wakil ke Perwakilan Bahagian. Wakil-wakil yang tidak dipilih di dalam Persidangan Cawangan atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.

FASAL 17.5.8
Tertakluk kepada Fasal 8.4.3, mencadangkan 7 nama untuk dipilih sebagai wakil UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri Cawangan 2009

2.1.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunan masing-masing bila-bila masa mulai dari hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.

2.2.2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing.

2.2.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan persidangan masing-masing.

2.2.4. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan

ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Cawangan

iii. Ahli-ahli Pergerakan UMNO Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.

iv. Tidak lebih dari dua orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Cawangan.

2.2.5. Sesuai dengan Fasal 19.4, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing adalah :-

FASAL 19.4.3
Memilih dua (2) orang wakil ke Mesyuarat Perwakilan Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian sebagaimana Fasal 14.2.4 Peraturan ini.

FASAL 19.4.5
Tertakluk kepada Fasal 9.2.4 Peraturan ini, mencadangkan dua (2) orang wakil Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia.

MESYUARAT PERWAKILAN BAHAGIAN

2.3.1. Bahagian-Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagiannya bila-bila masa mulai hari Khamis, 16 Julai 2009 sehingga hari Ahad, 16 Ogos 2009.

2.3.2. Bahagian hendaklah menetapkan tarikh, masa dan tempat Mesyuarat Perwakilan Bahagian dalam tempoh yang dinyatakan di atas. Badan Perhubungan UMNO Negeri hendaklah menentukan Pemerhati-pemerhatinya ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian tersebut.

2.3.3. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.2 “ Mesyuarat Perwakilan Bahagian hendaklah diadakan pada satu tempat dalam Bahagian yang berkenaan, tetapi jika tidak ada kemudahan di situ maka kebenaran boleh diberi oleh Majlis Tertinggi untuk mengadakan perwakilan di luar Bahagian.

2.3.4. Setiausaha Bahagian hendaklah memberitahu Cawangan secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Perwakilan Bahagian.

2.3.5. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh Mesyuarat
Perwakilan Bahagian di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

2.3.6. Mesyuarat Perwakilan Bahagian hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian
iii. Ketua Cawangan yang Cawangannya telah mengadakan Persidangan dan telah menjelaskan yuran kepada Bahagian bagi tahun 2008. Ketua Cawangan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Cawangan.
iv. Wakil-wakil yang dilantik oleh Persidangan Cawangan sebanyak seorang wakil bagi tiap-tiap lima puluh orang ahli yang telah menjelaskan yurannya sebelum atau pada 31 Disember 2008, tetapi jumlah Ahli Perwakilan itu tidak lebih daripada lima (5) orang dari satu (1) Cawangan.
v. Tidak lebih daripada sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Wanita, sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Pemuda dan sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Puteri yang dipilih oleh Perwakilan Bahagiannya masing-masing.

2.3.7 Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian boleh dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi ataupun sesiapa saja yang difikirkan sesuai untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing.

MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI BAHAGIAN

2.4.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilannya pada bila-bila masa mulai dari hari Khamis, 16 Julai 2009 sehingga hari Ahad, 16 Ogos 2009. Semua Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah diadakan sebelum Mesyuarat Perwakilan Bahagian masing-masing.

2.4.2. Tarikh Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah ditentukan oleh Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian dengan persetujuan Bahagian masing-masing.

2.4.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Mesyuarat Perwakilan diadakan.

2.4.4. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

2.4.5. Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap Pergerakan UMNO Bahagian dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan UMNO Bahagian.
ii. Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian.
iii. Ketua-ketua Pergerakan UMNO Cawangan. Sekiranya ia menjadi Ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian, maka bolehlah ia melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Pergerakan Cawangan UMNO.
iv. Dua (2) orang wakil yang dipilih oleh Mesyuarat Persidangan Pergerakan UMNO Cawangan dalam Bahagian itu, mana-mana wakil yang tidak dapat hadir tidak boleh melantik gantinya.
v. Tidak lebih dari tiga (3) orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Bahagian.

2.4.6. Sesuai dengan Fasal 14.3, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Mesyuarat Perwakilan masing-masing adalah:-

FASAL 14.3.3
Memilih Sepuluh (10) orang wakil Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian menurut Fasal 14.4.6 Perlembagaan UMNO.

FASAL 14.3.4
Memilih dua (2) orang wakil Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia menurut Fasal 9.2.4 Peraturan ini.

3. BORANG 9 ( AKTA PERTUBUHAN 1966 )

Semua Cawangan dan Bahagian hendaklah mengisi Borang 9 ( Akta Pertubuhan 1966 ), bersama minit Mesyuarat (Peringatan Persidangan/Perwakilan), senarai Ahli-ahli Jawatankuasa dan Penyata Kewangan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari selepas persidangan, bagi memenuhi kehendak peruntukan di bawah Akta Pertubuhan. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan daripada berlakunya pembatalan mana-mana Bahagian atau Cawangan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

4. KEDUDUKAN AHLI YANG MUFLIS

Sesuai dengan Fasal 9 ‘A’ (1) (d) dan 9 ‘A’ (7) (c) Akta Pertubuhan 1966, dan Fasal 6.3.4 Perlembagaan UMNO, maka seseorang muflis tidak dibenarkan bertanding atau memegang sebarang jawatan di mana-mana peringkat Persidangan Tahunan Cawangan atau mesyuarat Perwakilan Bahagian, termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Mereka juga dilarang untuk menjadi wakil dari Cawangan ke Bahagian atau dari Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

5. PENGERUSI TETAP

Semua Pengerusi Tetap yang mempengerusikan mana-mana Persidangan Tahunan Cawangan termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Pergerakan Puteri dikehendaki menandatangani Surat Akaun dan membaca surat tersebut di hadapan Perwakilan untuk mengesahkan mereka tidak muflis.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat UMNO berharap agar semua pihak yang terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya dan dapat mematuhi semua aturan dalam persidangan yang telah digariskan dalam parti.

Selamat Bersidang!

No comments:

Post a Comment