Monday, November 10, 2008

Separuh Calon Exco Pemuda Terdiri Daripada Profesional - Bukti Penerimaan Golongan Muda Terhadap UMNO

Oleh Roslin Mohamed Naziri

KUALA LUMPUR – Setengah daripada calon-calon yang layak bertanding bagi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merupakan golongan profesional muda.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Abd Rahman Dahlan, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia ketika sidang media selepas mesyuarat bersama Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Negeri-negeri.

"Ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa generasi muda, khususnya golongan profesional sudah tidak berminat lagi dengan UMNO.

"Ini juga satu petanda yang baik bagi Pemuda UMNO khususnya," ujar beliau.

Menurut beliau, seramai 115 calon yang layak bertanding untuk merebut jawatan Exco Pemuda.

"Saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang layak bertanding di peringkat pusat itu nanti," katanya lagi.

Pada pemilihan Mac 2009 nanti, Pemuda UMNO menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Ketua Pemuda, terdiri daripada Datuk Mukhriz Mahathir yang mendahului pencalonan sebanyak 75 pencalonan, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (62 pencalonan) dan Khairy Jamaluddin dengan 52 pencalonan.

Manakala bagi jawatan naib ketua, pertandingan antara Datuk Razali Ibrahim, 85 pencalonan dan Datuk Reezal Merican Naina Merican, 69 pencalonan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Belud turut mengatakan, di waktu musim pemilihan ini, Pemuda UMNO Malaysia akan menubuhkan pasukan pemantau yang terdiri daripada perwakilan sendiri bagi menangani politik wang dan salah laku calon.

"Mereka bertanggungjawab memberi laporan secara langsung kepada kepimpinan Pemuda dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan atau Lembaga Disiplin," katanya.

Dalam pada itu juga, beliau memaklumkan Pemuda UMNO pusat telah membuat keputusan, kepada calon-calon yang bertanding sekiranya ingin berkempen di peringkat negeri, hendaklah memaklumkan kepada Pemuda UMNO Negeri supaya dapat mengumpul semua perwakilan negeri terbabit bagi sesi memperkenalkan diri.

"Ini memandangkan ramai muka yang baru menawarkan diri terutama bagi calon exco.

"Bagi mana-mana calon yang menjalankan kempen sendiri, itu atas tanggungan risiko sendiri," tegasnya.

Tambahnya lagi, setakat ini secara langsung pihaknya tidak menerima sebarang tuduhan yang melibatkan politik wang walaupun persepsi di luar menyatakan sedemikian.

"Perwakilan kini telah matang, mana-mana calon yang menggunakan wang untuk mempengaruhi undi, pasti akan ditolak.

"Tiada kompromi dengan politik wang," tegasnya lagi.

Berhubung dengan bantahan mesyuarat, beliau memaklumkan sepanjang Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian di seluruh negara, Ibu Pejabat Pemuda UMNO Malaysia menerima 26 bantahan, di mana 16 telah selesai manakala baki masih dalam siasatan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Bantahan yang diterima ini tidak termasuk aduan yang mereka laporkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri dan juga Ibu Pejabat UMNO," katanya.

Dalam pada itu, hasil mesyuarat juga membuat beberapa cadangan kepada Pemuda UMNO pusat untuk kelicinan mesyuarat Pemuda UMNO Bbahagian pada masa akan datang seperti mencadangkan agar jawatan Pengerusi Tetap diberi secara khusus supaya mereka biasa, dapat menguasai perjalanan mesyuarat dan juga faham akan perlembagaan.

Ini kerana terdapat beberapa masalah, kes yang hanya boleh diselesaikan di peringkat Pengerusi Tetap sahaja.

Begitu juga cadangan agar Ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian yang baru, melantik jawatankuasa peringkat Cawangan dengan kadar segera seperti jawatan naib, setiausaha dan bendahari untuk mengelakkan masalah-masalah berkaitan pemilihan kelak akan berlaku.

Pemuda UMNO juga menghargai kepercayaan akar umbi yang memberi pengiktirafan kepada ahli-ahli Pemuda (yang habis usia) untuk memegang jawatan lebih penting sama ada di peringkat bahagian mahupun pusat.

Dalam kesempatan itu juga, mesyuarat tersebut mengambil ketetapan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, yang telah menang jawatan Presiden parti tanpa bertanding.

"Ini sebagai bukti ahli-ahli UMNO di akar umbi menyokong kepimpinan beliau.

"Kami juga sebulat suara memberi penghargaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas khidmat cemerlang beliau sepanjang memimpin parti dan juga negara," katanya.

Peralihan kuasa antara Presiden dan Timbalannya menunjukkan ia dilaksanakan secara demokratik, ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Instaforex