Monday, November 10, 2008

TOLAK POLITIK WANG - AHLI PERLU KEMBALI KEPADA ASAS PERJUANGAN UMNO

Oleh Zailan Mohamad

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru semua pihak terutama perwakilan supaya menolak sebarang unsur-unsur politik wang di musim pemilihan parti ini.

"Saya menyeru kepada para perwakilan, khususnya Pemuda UMNO supaya semua kembali kepada asas-asas perjuangan UMNO dengan menolak amalan ini," katanya.

Ini kerana, menurutnya apa yang akan ditentukan oleh UMNO pada bulan Mac ini bukan sahaja untuk masa depan UMNO tetapi juga merupakan medan terbaik untuk menentukan yang terbaik untuk parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara ini.

"UMNO adalah payung politik kepada bangsa Melayu, jadi UMNO dan ahli-ahlinya perlu menjadi teladan terbaik kepada bangsa dan rakyat.

"Para perwakilan harus meletakkan fokus kepada pemilihan bulan Mac ini.

"Ingatan dan fikiran mestilah kepada pemulihan, hanya itu sahaja yang dapat menggagalkan percubaan politik wang," ujar beliau.

Seharusnya ahli-ahli UMNO sedar, rakyat di luar sana sedang memerhati dan sebagai ahli kita mesti buktikan hal yang digembar-gemburkan ini hanya kerana segelintir sikap ahli-ahli sahaja, katanya.

"Majoriti dari kalangan mereka (ahli) berdisiplin, beridealisme dan mempunyai jati diri yang tinggi," tambahnya lagi.

Menurut Menteri Pelajaran itu lagi, sungguhpun ada di antara ahli berlainan fikiran, fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat, tujuan dan maksud mereka hanya satu, iaitu hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita.

"Ingatlah nasib parti, bangsa dan agama, berdirilah di atas bumi yang nyata, janganlah melihat pemilihan ini hanya di dalam konteks sementara dan bermusim," tegasnya.

Lanskap politik hari ini menuntut kepimpinan yang betul-betul ikhlas, jujur dan yang sangat sayang kepada bangsa dan partinya, ujarnya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong.

No comments:

Post a Comment

Instaforex