Wednesday, November 26, 2008

Umno perlu buat perubahan utama selepas pemilihan Mac depan

Sumber: New Sabah Times

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata parti itu perlu membuat perubahan utama dan melihat semula strukturnya selepas pemilihan Mac depan demi pengukuhan parti tersebut.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan gejala seperti politik wang dan masalah disiplin anggota parti dapat diatasi.

“Isu ini (politik wang) telah dibangkitkan sering kali kita berhadapan dengan pemilihan. Untuk menanganinya secara lebih berkesan ialah melihat semula struktur paksi kita.

“Ini saya percaya akan kita lakukan selepas pemilihan bulan Mac depan. Perkembangan yang positif ini mesti membenarkan kita juga melihat kepada struktur parti dalam perubahan yang ingin kita lakukan selepas Mac,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai usaha membanteras gejala politik wang dalam Umno adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu hanya boleh dilakukan dengan kemahuan politik, kemampuan yang padu dan kesungguhan daripada mereka yang diberikan tempat dalam parti selepas pemilihan Mac nanti.

“Harap selepas pemilihan nanti mungkin kita boleh tengok, khusus dari segi strukturnya, perlembagaannya, perjuangan kita yang menuntut kita melihat semula apa yang perlu kita lakukan bukan hanya dalam Umno tetapi dalam Barisan Nasional selepas pilihan raya umum ke-12,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pendirian calon Ketua Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang tidak mahu memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat sebagai ketua pergerakan itu pada pemilihan Mac depan, Hishammuddin berkata ia terpulang kepada hak masing-masing.

“Itu hak dia, kita sentiasa menawarkan diri untuk berkhidmat sekiranya kita diberikan tawaran untuk berkhidmat tidak kira apa jua keadaan. Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, suka atau tidak Wee kena terima dan pikul kerana matlamat objektif kita menawarkan diri adalah untuk berkhidmat.

“Sekiranya pucuk pimpinan memikirkan bahawa kita mempunyai kelebihan untuk berkhidmat bukan sahaja dalam parti tetapi dalam kerajaan, kenapa tidak (dilantik memegang jawatan dalam kabinet),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Instaforex