Sunday, March 1, 2009

Menilai hubungan erat UMNO-MCA

PERSATUAN Cina Malaysia yang lebih terkenal dengan nama singkatnya MCA genap berusia 60 tahun pada Jumaat lalu.

Sempena ulang tahun kelahirannya itu MCA patut menilai dirinya secara menyeluruh dan mengambil kira pelbagai jasa dan kejayaan di samping menginsafi pelbagai kegagalan dan rasa terkilan.

Begitu pula, pihak lain di luar MCA, sama ada orang awam atau golongan cendekiawan, sama ada rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN) atau musuh politiknya dalam pakatan pembangkang, demi mendapatkan gambaran yang menyeluruh dan seimbang, perlulah melihat MCA dalam satu hamparan sejarah sosial yang luas sepanjang kewujudannya.

Apa pun cacat cela dan kelemahannya sejak akhir-akhir ini, jasa MCA cukup banyak dalam memperkasa pendidikan Cina hingga dapat melahirkan bukan sahaja Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) malah juga Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Apa pun sungutan masyarakat Cina mengenai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), dengan cara dan gayanya tersendiri MCA telah berjaya memperkasa dan mengembangkan rangkaian kerja sistem persekolahan yang seakan-akan terpisah daripada sistem pendidikan kebangsaan itu.

Peluang-peluang ekonomi yang memang sedia terbuka luas bagi orang-orang Cina, semakin bertambah mewah dengan kelincahan MCA berdiplomasi.

Sejak negara ini merdeka saiz golongan kelas menengah Cina bertambah dengan pesat meninggalkan etnik-etnik lain di belakang. Begitu pula pertumbuhan golongan profesional dan pemilikan ekuiti dalam syarikat-syarikat yang ditubuhkan di Malaysia.

Orang Cina jauh lebih ke depan berbanding dengan orang Melayu atau India di negeri ini. Di samping menabur jasa yang bukan sedikit kepada masyarakat Cina, MCA juga telah berjasa besar mewujudkan iklim sosial dan kestabilan politik yang diperlukan untuk kemajuan ekonomi Malaysia.

Barangkali banyak yang sudah lupa, malah mungkin ada yang tidak tahu sama sekali bahawa MCA telah memainkan peranan penting dan memberi jasa yang besar dalam menjalin kerjasama yang berkesan dan produktif antara masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

Kerjasama itu telah melancarkan usaha-usaha mencapai kemerdekaan negara ini di pertengahan tahun 1950-an dulu. Setelah kemerdekaan tercapai kerjasama UMNO-MCA yang kemudian secara formal bergabung di bawah nama Perikatan itu berlanjutan terus untuk "mengisi" kemerdekaan.

Sememangnya belum semua impian menjadi kenyataan dan belum semua masalah dapat diselesaikan, tetapi tanpa kerjasama MCA dan UMNO tersebut tidak mustahil jika "impian" akan jadi "igauan" dan pelbagai masalah akan berlarutan.

Erti keamanan dan kemakmuran yang dinikmati Malaysia sejak setengah abad yang lalu itu akan jauh lebih rendah kadarnya berbanding dengan apa yang sudah dicapai berkat kerjasama UMNO-MCA.

Justeru kesepakatan UMNO-MCA yang menjadi lambang kerjasama Melayu-Cina tersebut wajarlah dipelihara dan dilanjutkan demi kestabilan politik Malaysia.

Mungkin kerana lupa atau tidak tahu tentang peranan MCA merintis kerjasama Melayu-Cina setengah abad yang lalu itu, sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah pemimpin MCA menunjukkan sikap yang terlalu "provokatif" yang boleh menjejaskan hubungan baik UMNO-MCA.

Antara contoh sikap provokatif itu ialah "tuduhan UMNO membuli MCA", serta kenyataan-kenyataan tentang isu ketuanan Melayu dan kontrak sosial. Sebahagian daripada kenyataan-kenyataan tersebut memang lebih bersifat perbezaan tentang pengertian istilah.

Tetapi tanpa disedari, nada atau dengungan kenyataan itu seakan-akan berpunca daripada parti pembangkang, bukan dari parti rakan kongsi UMNO yang memerintah.

Malah ada orang-orang Melayu yang beranggapan bahawa sejak akhir-akhir ini sesetengah pemimpin MCA 'lebih DAP daripada DAP', sedangkan sebelum itu, untuk sekian lama MCA mempunyai imej yang positif sebagai satu parti politik masyarakat Cina yang telah meletakkan asas yang kukuh membina kerjasama antara kaum, khususnya antara Melayu dan Cina.

Memang benar bahawa hubungan MCA dengan UMNO tidak senantiasa ramah dan mesra. Sepanjang setengah abad sejarah "perkongsian" kedua parti itu sekali sekala berlaku juga sengketa.

Seorang pakar Sains politik, R.K. Vasil dalam bukunya yang berjudul Politics in a Plural Society menyatakan bahawa Perikatan (UMNO-MCA) itu telah merubah jalan sejarah Malaysia. Malah lebih dari itu, boleh dikatakan bahawa kerjasama UMNO-MCA-MIC itu telah merubah peta politik wilayah semenanjung Tanah Melayu khususnya dan rantau Asia Tenggara amnya.

Kerukunan hubungan dan kerjasama sedemikian yang perlu dipelihara dan dipastikan oleh pimpinan MCA generasi mutakhir.

1 comment:

  1. Very interesting...

    Will feature your post in our website http://mylivingwall.com and link our readers to your blog.

    All the best!

    http://mylivingwall.com

    ReplyDelete

Instaforex