Thursday, March 5, 2009

Pemuda Dedah Bukti Siapa Sebenarnya Samseng Di Parlimen

Oleh Kazman Kamal

Shah Alam -- Pemuda UMNO Selangor hari ini tampil mendedahkan bukti siapa sebenarnya yang bersikap seperti samseng dalam insiden kekecohan yang berlaku di Parlimen baru-baru ini.

Ketuanya, YB Shukor Idrus berkata pihaknya mempunyai rakam video berhubung kejadian tersebut yang menunjukkan tiada sebarang bentuk kekasaran mahupun serangan dilakukan terhadap YB Karpal Singh seperti mana dakwaan pihak pembangkang.

Jelas beliau lagi kehadiran ketua-ketua Pemuda UMNO Selangor di Parlimen adalah atas dasar jemputan sebagai tetamu Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hj Abdul Latif Ahmad untuk perbincangan dan makan tengahari.

"Tiada sebarang bentuk kekasaran mahupun serangan dilakukan terhadap Karpal Singh seperti yang didakwa pembangkang. Jikalau pun ada pihak yang mengadu terkena tepis, ia hanyalah lantaran lambaian tangan oleh semua pihak di dalam kekalutan yang berlaku.

"Tidak ada gugur sehelai pun rambut Karpal Singh", katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata kekecohan hanya berlaku apabila beberapa ahli Parlimen DAP dating untuk campur tangan.

"Sekurang-kurangnya empat insiden provokasi, keganasan dan kekasaran yang dimulakan serta dilakukan terhadap Pemuda UMNO oleh Ahli Parlimen DAP.

"Sewaktu kekecohan tersebut berlaku, Karpal sudah beredar dan tidak lagi berada di situ", ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang seterusnya berkata apa yang dilaporkan media oleh ahli Parlimen DAP yang kebanyakan mereka tidak pun melihat kejadian dan menerima maklumat secara “hearsay” adalah fitnah semata-mata untuk mengaburi pandangan rakyat dan memberi gambaran yang salah di dalam Dewan Rakyat.

"Kita tidak faham mengapa Karpal yang bukan sahaja seorang yang berumur dan dihormati membuat provokasi terhadap golongan muda seperti kami.

"Sewajarnya sebagai seorang yang sudah tujuh penggal menjadi Ahli Parlimen, beliau lebih bijaksana di dalam kepimpinan dan tidak berlagak samseng terhadap rakyat biasa khususnya generasi muda.

"Kita berasakan hak kita dicabuli Karpal khususnya apabila beliau menggunakan statusnya sebagai seorang OKU mengambil kesempatan ke atas kami rakyat biasa", katanya.

Dalam insiden ini tegas beliau lagi Karpal telah menyalahgunakan status OKUnya, status Ahli Parlimennya serta menggunakan kawan-kawan DAPnya yang juga adalah Ahli Parlimen.

Pada sidang media itu juga Pemuda Selangor turut memberikan rakaman video dan gambar kejadian dalam format CD kepada wartawan bagi membuktikan dakwaan mereka

No comments:

Post a Comment

Instaforex