Monday, December 1, 2008

Mukhriz: Wujudkan sistem pendidikan satu aliran pupuk integrasi kaum

Sumber: mStar Online

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya diwujudkan satu sistem pendidikan yang menggabungkan semua sekolah bagi mengelakkan polarisasi kaum di negara ini.

"Satu cara terbaik untuk menyatukanpadukan rakyat adalah di peringkat sekolah.

"Mungkin boleh dipertimbangkan satu sistem pendidikan di mana semua sekolah diserapkan di bawah satu sistem iaitu sistem pendidikan Malaysia yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik.

"Inilah cara terbaik merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan yang bermakna antara kaum," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, sistem tersebut adalah berlainan dengan Sekolah Wawasan yang pernah dilaksanakan sebelum ini kerana sistem pendidikan Malaysia melibatkan konsep penggunaan satu bahasa oleh semua kaum.

"Di bawah sistem ini, bagi pelajar kaum Cina dan India, mereka mungkin diwajibkan mengambil subjek bahasa kaum masing-masing tetapi pelajar Melayu turut diberi pilihan untuk mempelajari kedua-dua bahasa tersebut.

"Kita turut galakkan bahawa anak-anak kita ini menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa. Dengan cara ini, semua pihak dapat meneruskan budaya masing-masing di bawah satu sistem kebangsaan," kata Ahli Parlimen Jerlun ini.

Beliau berkata, sudah sampai masanya, negara mengamalkan sistem pendidikan sedemikian memandangkan Malaysia adalah sebilangan kecil negara di dunia ini yang mempunyai pelbagai sistem pendidikan.

Ditanya sama ada sistem ini akan dipolitikkan termasuk daripada pemimpin Cina dan India yang mungkin menganggap ia sebagai ancaman, Mukhriz berkata, jika ini berlaku, mereka juga perlu berhenti bercakap tentang ketuanan Melayu kerana ia hanya akan menimbulkan reaksi negatif daripada kaum Melayu.

Dalam pada itu, beliau meminta pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) berhenti daripada mempesoalkan tentang ketuanan Melayu kerana ia hanya akan menjejaskan hubungan parti-parti komponen.

Kata beliau, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin parti komponen berhubung isu yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden MCA, Daruk Seri Dr. Chua Soi Lek itu adalah tidak sihat.

"Sebenarnya, kita harus beri penekanan dan tumpunan untuk memperkukuh BN dan seperti yang saya pernah kata sebelum ini, sebarang kenyataan yang mampu menjejaskan hubungan antara parti komponen perlu dielak walaupun di musim pemilihan parti masing-masing.

"Tapi masih ada kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA, terbaru oleh PPP dan sebelum ini, Gerakan yang menyentuh hati orang-orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno," katanya.

Mukhriz berkata, polemik seperti isu ini harus dielakkan kerana dibimbangi timbul pula reaksi balas yang mungkin mempertikaikan ketuanan ekonomi oleh kaum-kaum lain selepas ini.

Beliau berkata, istilah ketuanan Melayu tidak perlu diperdebatkan kerana tiada definisi yang jelas tentang istilah itu dan setakat ini, sistem yang diamalkan dalam negara adalah baik yang menguntungkan semua pihak di mana negara mempunyai kestabilan ekonomi, politik dan berdaya saing.

Katanya, istilah ketuanan Melayu tidak membawa maksud kaum Melayu adalah tuan dan bangsa lain sebagai hamba.

"Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Pahang sebelum ini yang mengatakan ketuanan Melayu itu adalah mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu dan sebab itulah kita memanggil 'Tuanku' dan ini dipraktikkan oleh semua bangsa, bukan hanya Melayu. Dari situlah istilah ketuanan Melayu muncul," katanya.

No comments:

Post a Comment

Instaforex