Monday, December 1, 2008

Usaha Unicef Tangani HIV Dan Aids Di Malaysia

Oleh Melati Mohd Ariff

Bersempena Hari Aids Sedunia Pada 1 Dis 2008

KUALA LUMPUR, 27 Nov Bernama) -- Berdasarkan perangkaan terkini, penyebaran HIV (Human Immunodeficiency Virus)dan Aids (Acquired Immune Deficiency Syndrome-Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) di Malaysia semakin meningkat.

Daripada 7,805 kes HIV pada 1993, bilangan kes sehingga 31 Dis 2007 ialah 80,938 kes.

Untuk kes Aids, daripada 227 kes pada 1993, ia meningkat kepada 13,635 sehingga akhir 2007. Bagi kematian yang berkaitan dengan Aids pula, angka terkumpul sehingga 31 Dis lepas ialah 10,334 kes.

Ketika halangan untuk menyekat penyebaran HIV dan Aids semakin meningkat, inisiatif kerajaan Malaysia serta pertubuhan lain yang terbabit dalam usaha memerangi virus dan penyakit itu turut diperhebat.

Satu daripada pertubuhan yang gigih dengan inisiatif memerangi HIV dan Aids di Malaysia ialah Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu atau ringkasnya Unicef. Agensi badan dunia ini berganding bahu dengan pihak berkuasa Malaysia untuk menggalakkan kelangsungan hidup, pembangunan dan perlindungan kanak-kanak di negara ini sejak 1954.

Bagaimanapun, sejak 2005, Unicef memberi tumpuan kepada HIV dan Aids. Program serta usaha badan ini juga menyokong kempen sejagat 'Bersatu demi Kanak-kanak menentang Aids'. Kempen ini dilancar Unicef dan UNAids pada tahun yang sama.

Bersempena Hari Aids Sedunia pada 1 Dis, Bernama menemu bual Youssouf Mohammad Oomar, wakil Unicef ke Malaysia yang bercakap mengenai inisiatif organisasi itu berkaitan dengan HIV dan Aids serta halangan yang bakal ditempuh.

Bernama: Apakah kemajuan yang dicapai oleh Unicef berhubung insiatif berkaitan dengan HIV dan Aids di Malaysia?

Oomar: Unicef sememangnya banyak menjalin kerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menyekat penyebaran HIV di negara ini. Program HIV dan Aids Unicef dibangun berdasarkan empat asas utama -- (1) bantuan teknikal dan peningkatan kemampuan; (2) program pemangkin di akar umbi (3) penerangan dan penyebaran maklumat untuk orang ramai; (4) penyelidikan dan analisis yang boleh diguna pakai.

Mengenai pendekatan polisi dan strategi, Unicef berganding bahu dengan kerajaan Malaysia untuk menyokong pembangunan Pelan Strategik Nasional (NSP) terhadap HIV dan Aids 2006-2010. NSP menekankan enam strategi, iaitu:

1. Memperkukuh kepimpinan dan sokongan

2. Meningkatkan latihan dan keupayaan

3. Mengurangkan kerentanan HIV dalam kalangan pengguna dadah suntikan dan rakan mereka

4. Mengurangkan kerentanan HIV di kalangan wanita, orang muda dan kanak-kanak

5. Mengurangkan kerentanan HIV di kalangan kumpulan populasi terpinggir dan lemah

6. Meningkatkan akses untuk pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan.

Unicef ialah rakan kongsi kerajaan Malaysia bagi program Pengurangan Bahaya dengan fokus kepada kerja sokongan untuk mengurangkan kerentanan HIV di kalangan pengguna dadah suntikan termasuk golongan belia, rakan dan keluarga mereka.

Antara 2005 dan 2007, Unicef merintis beberapa program akar umbi yang memberi fokus kepada pendidikan rakan-untuk-rakan di kalangan wanita dan orang muda.

Dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kemampuan, Unicef menyokong Persidangan Aids kebangsaan yang pertama bertemakan 'Penuhi Janji, Bersatu dalam Tindakan' diadakan pada Disember 2007.

Pada masa ini, Unicef juga sedang menjalankan penilaian awal terhadap kanak-kanak yang menanggung kesan akibat Aids. Langkah ini akan membolehkan pihak kami memahami dengan lebih baik isu penjagaan dan sokongan di samping usaha membanteras stigma dan diskriminasi.

Unicef memberi tumpuan untuk bekerja erat dengan kerajaan Malaysia serta masyarakat tempatan bagi memperkukuh pemantauan dan penilaian ke atas program untuk golongan belia dan wanita.

Maklumat yang kami perolehi akan digunakan untuk pembangunan dasar yang menyeluruh. Kami juga akan meneruskan usaha komunikasi dan sokongan melalui kerjasama dengan media tempatan.

Bernama: Apakah halangan dalam usaha untuk menyekat penyebaran HIV dan Aids?

Oomar: Pada dasarnya, ada tiga halangan utama yang dihadapi kerajaan Malaysia dan semua pihak yang ada kepentingan dalam hal ini.

Pertama, peningkatan kes jangkitan HIV menerusi hubungan seksual. Yang kedua, untuk meningkatkan pembabitan pertubuhan kemasyarakatan dan yang ketiga, keperluan menganalisis data dan membuat lebih banyak penyelidikan.

Bernama: Sejauh manakah pentingnya pendidikan dalam mencetus kesedaran HIV dan Aids dan apakah inisiatif Unicef dalam bidang ini?

Oomar: Pendidikan adalah satu daripada alat yang paling berpengaruh dalam menghalang penyebaran HIV dan mencegah pelbagai masalah kesihatan dan sosial. Pendidikan Berasaskan Kemahiran Hidup (LSBE) bertujuan melengkapkan golongan muda dengan kemahiran hidup seperti keyakinan diri, komunikasi antara peribadi, kecekapan di samping pembangunan peribadi serta sosial.

Program LSBE bukan setakat menguatkan kemahiran hidup anak muda tetapi juga mengukuhkan respons pencegahan di peringkat kebangsaan untuk memerangi epidemik HIV, terutama di kalangan belia.

Model LSBE dilancarkan sebagai projek perintis di Kedah pada 2005 dan Kementerian Pelajaran Malaysia merancang untuk melaksanakan program ini di seluruh negara pada 2008 dengan kombinasi kurikulum terbaru dari Unicef, Unesco dan kementerian berkenaan.

Unicef juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mengukuhkan pendekatan LSBE terhadap HIV dan Aids. Satu kurikulum mengenai LSBE dikembangkan untuk membantu guru dalam menggunakan pelan pelajaran di bilik darjah. Setakat ini, aktiviti membina kemampuan diri untuk guru mengenai LSBE dan HIV berjaya diketengahkan bukan sahaja kepada guru di Semenanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Bernama: Bagaimana pula pendirian Unicef mengenai stigmatisasi dan diskriminasi terhadap 'Orang Hidup' dengan HIV (OHH) atau Aids.

Oomar: Unicef, seperti agensi-agensi PBB yang lain mempunyai pendirian yang tegas terhadap diskriminasi orang yang positif HIV. Lagi pun, sebagai agensi yang diberi mandat untuk melindungi hak semua kanak-kanak, Unicef menyokong bahawa setiap kanak-kanak, sama ada yang terjejas akibat HIV atau dijangkiti virus itu mempunyai hak yang sama seperti kanak-kanak lain yang hidup di dunia ini. Ini jelas digariskan di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak yang telah disahkan oleh Malaysia.

Stigma dan diskriminasi terhadap kanak-kanak yang dijangkiti HIV atau terjejas kehidupannya akibat HIV tidak boleh diterima, walau dalam peringkat mana kehidupan kanak-kanak itu, baik dalam keluarga, sekolah atau masyarakat. Diskriminasi mempunyai kesan buruk jangka panjang yang serius terhadap peluang kanak-kanak serta keluarganya untuk mendapatkan perlindungan, rawatan dan penjagaan HIV dan AIDS.

Menerusi inisiatif sokongan, UNICEF berusaha untuk menangani stigma ini dengan mendapatkan bantuan media sebagai rakan kongsi utama kami. Sebelum ini, kami ada menganjurkan bengkel media pada 2005, seminar untuk pengarang pada 2007 dan satu lagi bengkel media pada Oktober 2008. Usaha ini bagi memaklumkan kepada media mengenai pendekatan terbaru serta istilah untuk berita-berita mengenai HIV dan AIDS. Pihak kami juga secara konsisten menghantar siaran akhabr, video, artikel dan sumber maklumat lain kepada media.

Satu lagi pihak yang penting dalam usaha kami untuk menangani isu stigma dan diskriminasi ialah para pemimpin agama yang bukan sahaja disegani tetapi juga dipercayai oleh masyarakat. Sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan pemimpin agama Islam dalam menangani isu berkenaan, Unicef menganjurkan satu seminar pada Jun 2007 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan. Program ini dibiayai oleh Kelab Bola Sepak Manchester United menerusi perkongsian "Bersatu untuk Unicef".

Bernama: Apakah Unicef mempunyai inisiatif lain untuk mendapatkan bantuan pemimpin-pemimpin agama Islam bagi program Pengurangan Bahaya?

Oomar: Seperti yang ditekankan dalam Pelan Strategik Nasional untuk HIV dan Aids 2006-2010, respons Malaysia terhadap epidemik Aids ialah untuk memperbadan satu pendekatan pelbagai sektor yang menyeluruh bagi menjamin kumpulan rentan disediakan dengan sokongan dan penjagaan yang perlu.

Peranan pemimpin agama Islam, sebagai ahli masayarakat yang disegani dan berpengaruh, adalah penting dalam memperkukuh jangkauan dan impak program pengurangan bahaya, terutama dalam menjamin pelaksanaan langkah pencegahan HIV.

Sekitar November 2008, Unicef membawa beberapa orang pemimpin agama Islam dari pelbagai negeri di Malaysia untuk lawatan sambil belajar ke Indonesia. Tujuan utama lawatan ini untuk meninjau amalan terbaik yang boleh dipraktikkan oleh pemimpin agama dalam menangani isu HIV.

Pengetahuan yang dapat diraih daripada program seumpama ini amat penting dalam mendapatkan sokongan lebih ramai pemimpin agama terhadap usaha pencegahan HIV dalam semua program peringkat masyarakat, daerah dan kebangsaan.

(Layari http://www.unicef.org/malaysia/reallives_7587.html untuk berita penuh mengenai seorang imam di Perlis yang mengambil inisiatif sendiri untuk menjalankan program di masjidnya).

Bernama: Apakah pandangan Unice fmengenai trend epidemik HIV di mana semakin ramai wanita dijangkiti HIV?

Oomar: Punca utama epidemik HIV dan Aids di Malaysia ialah populasi pengguna dadah suntikan. Daripada kira-kira 80,000 kes terkumpul HIV di negara ini (sejak kes pertama didiagnosis pada 1986), sekitar 72 peratus adalah pengguna dadah suntikan.

Bagaimanapun, Unicef dan Kementerian Kesihatan mengakui bahawa trend jangkitan menerusi hubungan heteroseksual semakin meningkat, terutama di Sabah dan Sarawak. Keadaan ini mencetuskan kebimbangan peningkatan jangkitan HIV di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Unicef komited untuk menangani gejala semakin menularnya HIV di kalangan wanita bagi mengurangkan kesan teruk ke atas kanak-kanak di negara ini.

Sekiranya trend ini tidak dibendung, lebih ramai kanak-kanak tidak akan dapat menempuh alam pembesaran dengan sempurna, hidup berkeluarga, mendapat pelajaran, penjagaan kesihatan dan peluang untuk masa depan yang lebih sihat.

Ini akan menjadikan mereka lebih rentan kepada penderaan, eksploitasi dan penyakit. Unicef sedang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mengenal pasti program tertentu bagi menangani trend yang membimbangkan ini yakni semakin ramai wanita dijangkiti HIV.

Bernama: Komitmen Unicef seterusnya terhadap program HIV dan Aids di Malaysia.

Oomar: Unicef komited untuk meneruskan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pelajaran bagi membendung penyebaran HIV di negara ini.

Dalam hal ini, pihak kami juga secara spesifik mahu meningkatkan persekitaran yang dapat melindungi kanak-kanak, orang muda dan wanita.

Ini selaras dengan Strategi Keempat Pelan Strategik Nasional 2006-2010 iaitu 'Mengurangkan Kerentanan HIV Dalam Kalangan Wanita, Orang Muda dan Kanak-kanak'.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Instaforex