Sunday, February 1, 2009

Program Homestay : Satu Pengenalan Industri Untuk Warga Ranau

Sejak kebelakangan ini industri pelancongan merupakan salah satu industri yang mampu memberikan hasil pulangan ekonomi yang menguntungkan. Namun demikian, industri ini memerlukan kreativiti dan usaha yang gigih dalam merangka program yang sesuai digunakan untuk sesuatu tempat/kawasan kerana aspek-aspek seperti kebudayaan dalam masyarakat setempat, tempat-tempat menarik, prasarana dan sokongan agensi-agensi kerajaan dan swasta perlu diambilkira bagi merealisasikan industri ini terus berkembang dan memberi manafaat kepada masyarakat setempat.

Dalam melihat peluang yang ada dalam industri ini, masyarakat Ranau haruslah memikirkan kebaikan yang boleh dikongsi bersama melalui konsep muafakat melalui gotong-royong, berkerjasama dan bersepakat. Industri yang dicadangkan adalah melalui "Program Penginapan Desa" atau dikenali sebagai Homestay.

Saya amat tertarik dengan kenyataan Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Azalina Othman Said, yang mengatakan bahawa beliau akan meningkatkan peranan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk memperhebatkan lagi publisiti mengenai program penginapan desa di negara ini. Rujuk Artikel "Rebut Peluang Program Penginapan Desa, Kata Azalina - Bernama"

Kita berharap masyarakat di Ranau akan melihat ini sebagai satu landasan dalam menjadikan industri Homestay sebagai satu kekuatan ekonomi kampung yang dapat memperkenalkan budaya kampung setempat malah juga memberi kesan yang positif kepada keuntungan yang bakal diperolehi oleh mereka sendiri melalui pertanian, kebudayaan, penambahbaikan prasarana dan sebagainya.

Maka dengan itu, untuk lebih memahami apakah itu Industri Homestay, saya masukkan sedikit sebanyak pembacaan yang seterusnya.


Pengenalan
Industri Homestay:

Artikel ini diambil dari Homestay Malaysia

Homestay adalah satu bentuk kemudahan tempat tinggal di mana pelancong akan dapat tinggal bersama keluarga tuan rumah yang dipilih dan berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami cara hidup seharian keluarga berkenaan dan kebudayaan secara langsung.

Program Homestay diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia pada tahun 1988 sebagai satu usaha mempelbagaikan produk pelancongan melalui penawaran penginapan alternatif kepada pelancong. Program ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1995 di Desa Murni, Kerdau, Temerloh, Pahang oleh Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Ia adalah satu program di bawah Pelan Induk Plancongan Luar Bandar yang bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan.

Program ini memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati percutian yang berbeza dan murah yang mana pelancong tinggal bersama keluarga tuan rumah yang menyertai program ini dan merasai sendiri bagaimana tuan rumah menjalani kehidupan seharian mereka. Pengalaman ini dapat meningkatkan pengetahuan pelancong mengenai cara hidup dan budaya penduduk tempatan di destinasi yang mereka lawati.

Program Homestay dilihat sebagai satu produk pelancongan alternatif yang berpotensi untuk mendapat sambutan memandangkan terdapat peningkatan dalam permintaan yang tinggi di kalangan pelancong antarabangsa terhadap pelancongan yang mempunyai ciri-ciri peningkatan pengetahuan, termasuk memerhati, mengalami dan mempelajari cara hidup penduduk tempatan di destinasi yang dilawati.

Di samping menjadi satu produk pelancongan alternatif yang menawarkan percutian dengan harga yang rendah kepada pelancong, Program Homestay juga merupakan satu strategi yang diambil kerajaan untuk meningkat dan membangunkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui penglibatan mereka dalam perancangan dan pembangunan pelancongan. Justeru itu, Program Homestay juga boleh dilihat sebagai projek komuniti yang dapat memupuk perpaduan dan dalam masa yang sama dapat mendorong kearah kemajuan komuniti.

3 comments:

  1. Sahutan pada seruan globalisasi:praktikaliti.

    ReplyDelete
  2. homestay?stayhome?..hmmm..yg penting orang Ranau perlu program yang lebih besar untuk menjana ekonomi..

    ReplyDelete
  3. Kita cuba mendekati masyarakat di Ranau melalui pendekatan yang mudah diterima dan mendapat sokongan penuh dari kawasan-kawasan atau kampung-kampung yang terlibat.

    Kecendorongan masyarakat di kampung-kampung tidak sama. Cuma yang kita perlukan adalah apa yang menjadi kelebihan dalam sesebuah kampung itu diharapkan menjadi hasil peluang kepada hasil produk yang menguntungkan untuk masyarakat di sana.

    ReplyDelete

Instaforex