Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya pada hari ini sekali lagi kita dapat bersama-sama dalam istiadat perasmian penggal kedua, Parlimen Ke-12. Pada kesempatan ini beta ingin menyentuh beberapa perkara yang wajar diamati dan diambil perhatian.
Pada tahun 2008, dunia telah dilanda krisis kewangan global yang bermula di Amerika Syarikat, kemudiannya ke Eropah dan bahangnya dirasai oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Walaupun dunia pada masa kini menghadapi cabaran ekonomi yang amat getir, namun ekonomi negara masih bertahan kerana langkah-langkah telah pun diambil bagi memperkukuhkan asas ekonomi dan sistem kewangan negara sejak krisis kewangan pada tahun 1997/98.
Sehubungan itu, pada tahun lalu, ekonomi negara terus berkembang pada kadar sekitar lima peratus dan jumlah perdagangan antarabangsa kekal melebihi RM1 trilion.
Pada tahun ini situasi ekonomi dunia dijangka lebih mencabar dan boleh menggugat pertumbuhan ekonomi negara. Melalui Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Mamanda Perdana Menteri yang bermesyuarat setiap minggu, kerajaan sentiasa memantau dengan rapi persekitaran ekonomi global dan mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan impaknya ke atas ekonomi negara.
Antara langkah yang diambil ialah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion, mengkaji semula strategi pembangunan, menyenarai utamakan program dan projek pembangunan, menggalakkan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta serta melaksanakan projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Beta berharap dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut ekonomi negara akan terus berkembang dan kesejahteraan rakyat akan terpelihara. Jika keadaan memerlukan, pakej tambahan untuk menstabilkan ekonomi akan diperkenalkan.
Kerajaan beta akan terus meminimumkan kesan kelembapan ekonomi global ke atas sektor perdagangan dan perindustrian negara. Antara langkah tersebut ialah mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kondusif, meningkatkan daya saing negara serta memperkenalkan dasar pelaburan yang lebih liberal dan telus.
Dalam hubungan ini, promosi dan usaha bagi menggalakkan kemasukan lebih banyak pelaburan dari negara-negara yang mempunyai lebihan dana Timur Tengah dan Republik Rakyat China akan dipertingkatkan. Begitu juga pelaburan dari India dan rantau ASEAN. Di samping mengekalkan eksport ke pasaran tradisi, usaha-usaha akan digiatkan lagi untuk meneroka pasaran baru yang berpotensi.
Sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berperanan lebih besar dalam menjana pertumbuhan, memperluaskan asas ekonomi dan menyumbang kepada hasil eksport negara. Langkah-langkah liberalisasi sektor perkhidmatan secara terancang dan progresif akan terus diambil supaya sektor tersebut menjadi lebih kompetitif di peringkat serantau dan global.
Sektor pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan sumber pendapatan pertukaran wang asing negara.
Pada tahun lalu negara telah mencatatkan ketibaan seramai 22,050,000 pelancong dan menyumbang sebanyak lebih kurang RM48 bilion kepada pendapatan negara.
Pada tahun ini, di sebalik kelembapan ekonomi global, kerajaan menyasarkan ketibaan seramai 20 juta orang pelancong ke negara ini.
Sehubungan ini, promosi produk-produk pelancongan seperti ekopelancongan, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan pelbagai keagamaan, program Malaysia Rumah Keduaku, program inap desa serta Malaysia sebagai lokasi membeli-belah, mesyuarat, konvensyen dan pameran antarabangsa akan terus dipertingkatkan lagi.
Selain itu, kerajaan beta juga akan mempromosikan program minat khas seperti sukan golf, selam skuba dan memancing. Bagi menggalakkan pelancongan domestik, destinasi-destinasi pelancongan yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan akan dipromosikan dengan lebih agresif.
Pada masa yang sama penjagaan kebersihan, alam sekitar dan sistem pengangkutan serta kemudahan awam akan terus diberi perhatian bagi memajukan lagi industri pelancongan negara.
Beta sukacita kedudukan Malaysia dalam Laporan Kajian Bank Dunia bagi kemudahan menjalankan perniagaan telah meningkat daripada kedudukan ke-24 pada tahun 2008 kepada kedudukan ke-20 di kalangan 181 buah negara pada tahun 2009.
Pada masa yang sama, tumpuan akan terus diberi terhadap usaha-usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang akan menyumbang kepada peningkatan daya saing negara. Ini semua boleh meningkatkan lagi kemasukan pelabur ke negara ini.
Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana berdaya maju yang menerima kesan buruk daripada kelembapan ekonomi global, Skim Bantuan Jaminan PKS bernilai RM2 bilion telah disediakan bagi membolehkan mereka mempunyai akses kepada pembiayaan pada kos yang lebih rendah.
Justeru, beta menyeru institusi perbankan supaya terus menyediakan kemudahan pembiayaan kepada syarikat-syarikat perniagaan dalam usaha menjana dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Selain daripada langkah-langkah yang beta nyatakan, pihak industri sama ada besar, sederhana atau kecil wajar beralih kepada industri yang berasaskan tekonologi tinggi, misalnya bioteknologi. Pihak industri hendaklah juga mengambil peluang-peluang yang disediakan dengan menceburi dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan secara moden dan berskala besar.
Pihak swasta juga hendaklah mengambil peluang sepenuhnya di atas keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pensijilan halal Malaysia. Ini bertujuan bagi memperkukuhkan kedudukan negara kita sebagai hab barangan dan perkhidmatan halal dunia.
Kepakaran Malaysia dalam perbankan Islam yang diiktiraf masyarakat antarabangsa juga boleh dieksploitasi bagi mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab sistem perbankan Islam.
Komoditi juga merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara. Walau bagaimanapun, ketidaktentuan harga komoditi kebelakangan ini telah memberi kesan kepada pendapatan pekebun-pekebun kecil.
Sehubungan ini, kerajaan beta telah mengambil langkah-langkah perlu bagi meringankan beban mereka dengan menggalakkan industri hiliran, meningkatkan penggunaan biobahan api, meneroka pasaran-pasaran baru dan memberi insentif penanaman semula kelapa sawit dan getah.
Di samping itu, kerjasama dengan negara-negara pengeluar lain akan dipertingkatkan bagi menstabilkan harga komoditi di pasaran antarabangsa.
Masyarakat Felda juga tidak terlepas daripada kesan kejatuhan harga komoditi. Justeru, langkah-langkah menggiatkan aktiviti keusahawanan serta melaksanakan Program Bumi Hijau telah diambil untuk meringankan beban mereka. Kerajaan beta juga telah menyediakan pelbagai program untuk membangunkan sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka Felda. Golongan ini akan diperkasa melalui pelbagai latihan kemahiran termasuk dalam bidang teknologi tinggi.
Dalam usaha meringankan beban rakyat jelata menghadapi suasana ekonomi yang mencabar, beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan beta misalnya pemberian pelbagai subsidi serta meneruskan kawalan harga barangan keperluan.
Seperti yang dijanjikan, harga runcit petrol dan diesel telah diturunkan sebanyak tujuh kali selaras dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia.
Ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan beta terhadap kesejahteraan rakyat jelata. Usaha ini hendaklah disokong oleh semua pihak termasuk para pengusaha, peniaga, badan bukan kerajaan dan persatuan pengguna.
Rakyat jelata juga perlu beriltizam bersama kerajaan beta menangani cabaran ekonomi masa kini dengan meningkatkan produktiviti, berbelanja dengan bijak serta mengutamakan barangan tempatan seperti mana kempen membeli barangan Malaysia yang telah dilancarkan oleh Mamanda Perdana Menteri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
Dalam menangani kenaikan harga barangan makanan, adalah menjadi hasrat kerajaan beta memastikan rakyat memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan pada harga yang berpatutan. Pada masa yang sama rakyat adalah digalakkan untuk mengeluarkan bahan makanan sendiri melalui Program Bumi Hijau.
Beta menyeru supaya kelembapan ekonomi yang dihadapi sekarang dijadikan sebagai titik tolak untuk para pengusaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan mengutamakan tenaga kerja tempatan. Dalam sektor pembinaan misalnya, para pengusaha boleh mengguna pakai kaedah sistem binaan berindustri. Pada masa yang sama, tenaga kerja tempatan juga hendaklah tidak terlalu memilih kerja. Sehubungan ini, langkah kerajaan beta menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pemberhentian Pekerja di peringkat nasional, negeri dan daerah, Jawatankuasa Pemudah Cara Penggajian Pekerja Yang Diberhentikan untuk melatih dan menempatkan pekerja-pekerja yang diberhentikan dan mengeluarkan garis panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja bagi membantu majikan mengekalkan tenaga kerja selama mana yang boleh, adalah tepat.
Kerajaan beta tidak akan sama sekali mengabaikan kaum-kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak, masyarakat Orang Asli serta masyarakat luar bandar termasuk petani, nelayan dan pekebun kecil. Pelbagai langkah dan usaha untuk mempertingkatkan taraf ekonomi kaum-kaum tersebut dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar akan terus dilaksanakan.
Antara usaha-usaha tersebut termasuklah penyediaan peruntukan biasiswa yang khusus bagi kaum-kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak serta golongan-golongan yang amat memerlukannya. Di samping itu, kerajaan beta juga akan mengambil berat akan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum India dengan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Mengenal Pasti dan Memantau Penyertaan Kaum India dalam program dan projek kerajaan yang dipengerusikan oleh Mamanda Timbalan Perdana Menteri bagi mempertingkatkan penyertaan kaum tersebut dalam arus pembangunan negara.
Kerajaan beta telah mengambil langkah-langkah yang bersepadu bagi membantu rakyat menghadapi kesan-kesan sosioekonomi berikutan kelembapan ekonomi global. Sejak tahun lalu Projek Cari telah dilaksanakan bagi memastikan setiap rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum mendapat bantuan daripada kerajaan. Pada masa yang sama Jaringan Keselamatan Sosial telah diperluaskan dengan menaikkan kelayakan pendapatan isu rumah bagi membolehkan lebih ramai golongan yang memerlukan seperti golongan miskin, warga emas dan ibu tunggal diliputi di bawah skim-skim bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kemudahan perumahan terutamanya bagi golongan yang memerlukan terus menjadi agenda utama kerajaan beta. Sehubungan ini, Program Perumahan Rakyat, Program Bantuan Rumah, Projek Rumah Mesra Rakyat dan sebagainya akan terus dilaksanakan dan dipertingkatkan bagi memastikan rakyat golongan berpendapatan rendah memiliki rumah yang selesa mengikut kemampuan mereka.
Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak 25,500 unit rumah akan dibina pada tahun ini. Skim Jaminan Kredit Perumahan telah disediakan bagi membantu golongan yang tidak berpendapatan tetap memiliki rumah kos rendah dan sederhana rendah.
Beta bangga dengan pengisytiharan bandar raya Melaka dan Georgetown sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Pengiktirafan tersebut hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosi pelancongan negara. Beta ingin mengingatkan agar apa jua tindakan yang boleh menjejaskan pengiktirafan tersebut hendaklah dielakkan.
Beta dukacita walaupun negara kita telah 51 tahun merdeka, namun isu-isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum. Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan.
Hak-hak setiap rakyat di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipelihara dan dihormati. Sehubungan ini, beta menyeru semua rakyat bersama-sama meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Kepelbagaian kaum dan budaya yang dimiliki hendaklah digembleng menjadi kekuatan negara kita.
Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan. Oleh itu, beta mengingatkan semua pihak supaya menghormati kedudukan tersebut dan tidak mempersoalkannya.
Perlembagaan Persekutuan juga adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan. Oleh itu, beta ingin mengingatkan supaya kesepakatan tersebut dihormati dan tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara. Justeru, sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu diperjelaskan kepada golongan ini supaya mereka lebih memahami asas-asas pembentukan negara.
Di samping itu, prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat.
Beta juga memandang berat kecenderungan sesetengah pihak yang mudah mempercayai fitnah dan berita-berita palsu yang disebar oleh pihak-pihak tertentu termasuk melalui laman-laman blog sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat. Sesungguhnya, kita harus belajar daripada sejarah di mana kejatuhan sesebuah empayar dan tamadun adalah berpunca daripada fitnah, hasad dengki dan perpecahan di kalangan rakyat.
Sehubungan ini, rakyat hendaklah berhati-hati dan bijak menilai maklumat yang tersebar. Pengamal-pengamal media termasuk penulis-penulis blog hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan demi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.
Kerajaan beta juga mengambil berat mengenai isu ketenteraman awam dan keselamatan dalam negara. Namun, masih ada yang mempunyai persepsi negatif mengenai isu jenayah di negara ini seolah-olah ia tidak terkawal. Sehubungan ini, Polis Diraja Malaysia hendaklah sentiasa berusaha memerangi jenayah demi kesejahteraan rakyat. Beta juga menyeru rakyat jelata memberi kerjasama kepada pihak polis dalam usaha-usaha mereka membanteras jenayah dan menyertai Program Kepolisan Masyarakat.
Beta menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuktikan keikhlasan dan iltizam kerajaan beta mengotakan janji untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Bagi memastikan usaha pembanterasan rasuah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai yang profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang.
Justeru, bagi menarik golongan tersebut berkhidmat, SPRM akan menyediakan skim perkhidmatan dan saraan yang lebih baik. Skim baru ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pegawai-pegawai SPRM di atas peranan dan sumbangan penting mereka dalam meningkatkan integriti dan membanteras jenayah rasuah di negara ini.
Penubuhan SPRM dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah bukti bahawa kerajaan beta berpegang pada janji-janjinya. Beta yakin kedua-dua suruhanjaya tersebut akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti institusi-institusi tersebut. Langkah kerajaan ini akan memantapkan lagi agenda integriti negara dan seterusnya melonjakkan martabat negara di persada antarabangsa.
Modal insan yang berkualiti adalah amat penting kepada pembangunan negara. Justeru kerajaan beta telah memperkenalkan Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, Pelan Induk Latihan Pembangunan Kemahiran Pekerja Malaysia dan Pelan Strategik Pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.
Usaha-usaha memperluaskan pendidikan prasekolah akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang pendidikan diperoleh lebih awal. Di samping itu, transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah akan dilaksanakan agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan akan datang. Beta menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan dan badan korporat memainkan peranan membantu para pendidik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa.
Dalam bidang pengajian tinggi, kerajaan beta telah menetapkan 18 agenda utama untuk dilaksanakan di bawah tujuh teras Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Antara agenda yang sedang dilaksanakan termasuklah Program Apex, MyBrain 15, kepimpinan, pembelajaran sepanjang hayat, pengantarabangsaan dan beberapa program lain yang akan dapat melonjakkan institusi pengajian tinggi awam ke tahap yang lebih cemerlang. Ini selaras dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki minda kelas pertama.
Pada masa ini, 41 peratus daripada penduduk negara terdiri daripada golongan belia iaitu yang berumur antara 15 hingga 39 tahun. Justeru, masa depan negara bergantung kepada golongan ini. Cabaran untuk membangunkan golongan belia kini bukan hanya tertumpu kepada aspek latihan dan pekerjaan, bahkan negara memerlukan belia yang berintegriti, memiliki identiti diri yang positif, berdaya saing dan cintakan negara. Sehubungan itu, jangkauan program kepada seluruh warga belia akan dipertingkatkan.
Dalam usaha membangunkan modal insan di luar bandar, Pelan Tindakan Desa yang bertujuan mengupayakan masyarakat luar bandar telah disediakan dengan penyertaan mereka sendiri. Beta menyeru agar semua agensi kerajaan bekerjasama bagi menjayakan pelan tersebut.
Kesihatan mental dan fizikal adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Rakyat yang sihat dan cergas boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan kesejahteraan keluarga. Justeru, beta menyeru supaya rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, bersukan dan menjaga kebersihan persekitaran untuk menghindar penyakit-penyakit kronik dan berjangkit.
Menyedari pentingnya memelihara alam sekitar, kerajaan beta akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk menangani kemerosotan kualiti udara, air dan persekitaran. Usaha-usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai, para pengusaha ladang dan ternakan serta pihak industri demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Sumber tenaga yang terjamin adalah salah satu ciri sebuah negara maju. Sehubungan ini, usaha-usaha akan diambil untuk memanjangkan jangka hayat bekalan sumber tenaga fosil sedia ada dan pada masa yang sama meningkatkan penggunaan sumber tenaga alternatif dan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam bidang pengangkutan, kerajaan beta akan mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam serta berusaha mengurangkan kemalangan. Di samping itu, beta berharap para pengusaha pengangkutan awam akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan demi keselesaan dan keselamatan para penumpang.
Kerajaan beta juga prihatin kepada golongan kurang upaya dan telah mula mempertingkatkan kemudahan yang mesra orang kurang upaya. Penyediaan kemudahan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat. Di samping itu, kerajaan beta sedang mempertingkatkan penyertaan orang kurang upaya dalam sektor awam dengan memperuntukkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan anggota perkhidmatan awam kepada mereka. Beta berharap langkah ini akan diikuti oleh sektor swasta.
Dasar luar Malaysia sentiasa berpaksikan kepada usaha mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Sepanjang tahun 2008, kepentingan Malaysia telah berjaya diketengahkan dan dilindungi di peringkat antarabangsa melalui amalan diplomasi yang proaktif. Malaysia telah berjaya mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara-negara sahabat dan kerjasama serantau terutamanya dengan ASEAN yang kini semakin maju sebagai badan serantau.
Kerjasama pelbagai hala dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa juga bertambah mapan, terutama dengan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Pertubuhan Persidangan Islam, Komanwel serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sebagai pasukan pengaman di serata dunia mencerminkan iltizam Malaysia kepada keharmonian masyarakat antarabangsa.
Lawatan-lawatan negara ke Kemboja, Laos dan Kuwait yang telah beta sempurnakan pada tahun 2008 telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan pengukuhan hubungan-hubungan ini. Beta berbangga suara dan pandangan Malaysia dalam menyorot kepentingan negara di peringkat antarabangsa sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.
Pengiktirafan dan penghormatan kepada negara dapat dilihat dengan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang menyokong Malaysia menjayakan penganjuran beberapa mesyuarat, persidangan dan forum penting dunia pada tahun 2008 termasuklah Forum Ekonomi Dunia dan Sidang Kemuncak Lapan Negara-Negara Membangun. Ini melambangkan bahawa dasar-dasar Kerajaan Malaysia diterima pakai bagi kepentingan masyarakat antarabangsa.
Beta maklum dan menggalakkan daya usaha kerajaan beta untuk menjayakan beberapa lagi inisiatif antarabangsa pada tahun ini dalam bidang penerangan dan diplomasi awam, persidangan hak asasi manusia dan sebagainya. Beta menyeru semua petugas di Kedutaan Malaysia di seberang laut supaya bertugas sebagai satu pasukan di bawah panji negara.
Kerajaan beta sentiasa siap siaga berinteraksi supaya negara-negara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan-alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Justeru, tindakan kerajaan beta mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah tindakan yang tepat.
Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Penghantaran bantuan perubatan serta sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menyerlahkan lagi keprihatinan negara terhadap keamanan dan keselamatan sejagat amnya dan nasib rakyat Palestin khasnya.
Beta menyeru semua golongan rakyat tanpa mengira fahaman politik berganding bahu dan saling bekerjasama memajukan negara yang kita kasihi. Semua pihak termasuk parti-parti politik perlu menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan serta tidak melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan pembangunan ekonomi negara.
Beta ingin mengingatkan sekali lagi supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat menunjukkan perilaku yang terpuji dalam Dewan yang mulia ini. Beta amat sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada sesi yang lalu yang memberi imej negatif kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dewan ini khususnya serta negara amnya. Sehubungan ini, semua Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematuhi dan menghormati peraturan-peraturan Dewan.
Sebelum beta mengakhiri titah ini, beta maklum bahawa Mamanda Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Mamanda Timbalan Perdana Menteri pada bulan hadapan setelah menerajui negara sejak 31 Oktober 2003.
Sehubungan ini, beta merakamkan penghargaan kepada Mamanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas kepimpinan dan segala sumbangan terutamanya dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.
Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan.
Akhir titah, beta juga merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Negara, Ahli-Ahli Dewan Rakyat, anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan seluruh rakyat jelata yang telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran serta keselamatan negara yang kita cintai.
Semua pihak hendaklah terus mempertingkatkan usaha-usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran-cabaran terutamanya yang timbul akibat daripada kelembapan ekonomi global. Ini kerana tanpa sokongan padu semua pihak segala usaha tersebut tidak akan berjaya.
kap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai yang profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment