Wednesday, November 19, 2008

Implikasi krisis ekonomi terhadap sektor pelancongan diketahui awal tahun depan

19th November, 2008

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun berkata, implikasi sebenar krisis ekonomi dunia terhadap sektor pelancongan dijangka akan dapat di lihat pada awal tahun depan.

Bagaimanapun katanya United Nation World Tourism Organization (UNWTO) melaporkan bahawa sektor pelancongan akan mampu menghadapi cabaran ini kerana para pelancong akan tetap meneruskan hasrat untuk melancong tetapi dengan trend yang berbeza.

Katanya, pelancong juga akan beralih arah kepada syarikat penerbangan tambang murah dan memilih untuk melancong secara domestik atau ke destinasi serantau.

"Berdasarkan trend perjalanan semasa pelancong, kementerian saya mengambil langkah untuk memberikan tumpuan terhadap pasaran domestik, pasaran serantau terutamanya negara jiran seperti Singapura, Filipina, Indonesia dan Brunei, dan pasaran serantau jarak sederhana seperti selatan China dan Australia.

"Di sampan itu, sektor pelancongan negeri juga akan mempergiatkan promosi di hab-hab udara utama rantau ini seperti Hong Kong dan Tokyo yang mempunyai jaringan perhubungan antarabangsa yang luas untuk menarik para pelancong jarak jauh daripada Eropah dan Amerika Utara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif dan Adun Elopura Au Kam Wah, pada sesi soal jawab, dalam persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Masidi berkata, bagi memperkukuhkan kedudukan sektor pelancongan negeri dan memastikan ia berdaya saing, kementeriannya telah merangka pelbagai strategi.

"Antaranya, memberikan tumpuan terhadap pasaran sasaran yang mempunyai penerbangan terus ke Sabah dan mempertingkatkan lagi kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan yang mempunyai jaringan akesibiliti udara ke negeri ini seperti Malaysia Airlines, Air Asia, Silk Asia, Dragon Air, Korean Air, Asian Air-lines, Royal Brunei Airlines dan Cebu Pacific.

"Kementerian saya turut mempergiatkan aktiviti pemasaran dan promosi di destinasi yang mempunyai perkhidmatan syarikat penerbangan kos rendah," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 81 peratus pelawat yang datang ke Sabah adalah untuk tujuan kembara dan siar, yang mana tambang tiket penerbangan merupakan satu aspek penting yang mendorong kepada pertumbuhan kembara dan siar.

"Kini semakin ramai pelancong memilih perkhidmatan Syarikat penerbangan kos rendah (LCC) untuk mengurangkan impak yang dirasai daripada krisis kewangan global," katanya.

Tambahnya lagi, kementeriannya turut mempertingkatkan kerjasama dengan hotel bertaraf lima bintang dalam merangka strategi, aktiviti dan promosi untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi yang ideal.

"Mulai 2 Dis ini, Jetstar Asia Airways, satu lagi syarikat penerbangan kos rendah akan memulakan perkhidmatan penerbangan terus antara Singapura dan Kota Kinabalu dengan kekerapan empat kali seminggu, menjadikan kekerapan di laluan ini 22 penerbangan seminggu," katanya.

Masidi berkata, di samping strategi-strategi utama itu, pihaknya juga akan memantapkan lagi promosi dan pembangunan pelancongan negeri dengan mempergiatkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menarik pelancong domestik khusus untuk Semenanjung dan Sarawak.

"Selain itu, kita juga mengambil langkah inovatif dan kreatif untuk mempromosikan destinasi ini di pasaran serantau dan antarabangsa dengan menggunakan khidmat artis dan personaliti negara pasaran sasaran., mempertingkatkan promosi di negara-negara tidak terjejas dengan krisis ekonomi masa kini khususnya di negara United Arab Emirates serta membangunkan produk-produk baru bagi menarik segmen pasaran niche yang mempunyai potensi tinggi di Sabah," katanya.

Katanya, kementeriannya mengambil inisiatif untuk menganjurkan 1st Borneo International Bird Watching Festival 2009 yang julung kalinya akan diadakan pada 13 hingga 15 Oktober tahun depan di Sandakan, untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Sabah.

Masidi yakin sektor pelancongan negeri akan terus berkembang dan berdaya saing melalui strategi-strategi serta kerjasama dan sokongan padu semua.

By :   New Sabah Times

No comments:

Post a Comment

Instaforex