Friday, November 21, 2008

Mukhriz tak minat jawatan Kabinet

Sumber: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tidak berminat menyandang sebarang jawatan dalam Kabinet jika terpilih sebagai Ketua Pemuda pada pemilihan Mac tahun depan.

Katanya, keputusan itu kerana mahu menumpukan usaha memperkukuhkan Pemuda dalam menangani pelbagai isu, termasuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno.

"Keputusan itu bukan bermakna saya tidak mampu memikul jawatan sebagai menteri Kabinet... tetapi biarlah dulu kerana tumpuan seharusnya diberikan untuk mengembalikan sokongan rakyat.

"Saya tidak mahu tugas sebagai menteri mengganggu tumpuan terhadap usaha pemulihan parti kerana sesiapa yang bakal memegang jawatan Ketua Pemuda mempunyai tanggungjawab besar," katanya selepas mempengerusikan taklimat media Anugerah Francais Malaysia 2008 anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini, semalam.

Beliau juga menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk mengambil tindakan sewajarnya jika benar ada calon bertanding merebut jawatan itu terbabit politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, parti akan terus lemah dan hilang pengaruh jika pemimpinnya masih menabur wang untuk membeli undi daripada perwakilan bahagian bagi memastikan terpilih dalam pemilihan Umno.

No comments:

Post a Comment

Instaforex