Friday, November 21, 2008

Peruntukan sedia Bekalan Elektrik Luar Bandar dinaikkan

Sumber: New Sabah Times - 21st November, 2008

KOTA KINABALU: Peruntukan Ke-menterian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menyediakan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dinaik-kan lebih sekali ganda iaitu daripada RM411.25 juta kepada RM841.25 juta di bawah Kajian Separuh Panggal, Ran-cangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu sempena persidangan dewan undangan negeri, di sini, kelmarin, Menterinya Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, turut dinaikkan peruntukan dalam tempoh itu ialah Bekalan Air Luar Bandar (BALB) iaitu daripada RM362.17 juta kepada RM522.17 juta.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, peruntukan Jalan Luar Bandar (JALB) juga dinaikkan sebanyak RM492.72 juta iaitu daripada peruntukan asal RM527.25 juta kepada lebih RM1 bilion.

Bagaimanapun katanya, peruntukan untuk Jalan Kampung di bawah Kajian Separuh Panggal RMK-9, kekal sebanyak RM200 juta.

"Saya yakin dengan tambahan-tambahan peruntukan di bawah Kajian Separuh Panggal RMK-9, penambahbaikan akan berlaku di mana kemudahan-kemudahan asas dapat ditingkatkan.

"Saya turut menaruh harapan ke atas kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Parlimen beberapa hari yang lalu yang mengatakan bahawa liputan bekalan elektrik luar bandar di negeri ini akan meningkat kepada 90 peratus pada tahun 2010," katanya.

Berkenaan dengan kemiskinan Pairin berkata, berdasarkan Laporan Kajian Separuh Panggal RMK-9, kadar kemiskinan keseluruhan bagi negeri Sabah telah turun dari 23 peratus pada tahun 2004 kepada 16 peratus pada tahun 2007, manakala kemiskinan tegar pula telah turun dari 6.5 peratus kepada 3.7 peratus bagi tempoh yang sama.

"Namun demikian angka-angka tersebut masih tinggi dan memerlukan tindakan yang fokus serta bersepadu dalam menanganinya," jelas beliau.

Tambahnya lagi, dalam usaha mencapai objektif mensifarkan kemiskinan tegar menjelang 2010, kerajaan negeri melalui kementeriannya telah merangka 'Roadmap' yang mengandungi pelbagai program pembasmian kemiskinan tegar kerajaan negeri dan persekutuan dengan melibatkan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) di sesebuah daerah berdasarkan 'poverty mapping' yang disediakan di setiap daerah.

"Dalam merealisasikan objektif me-naiktaraf hidup rakyat luar bandar dan membasmi kemiskinan, kerjasama yang mantap dari semua pihak termasuk golongan sasar sendiri amat penting," katanya.

Dari segi bajet, Pairin berkata, bajet sebanyak RM2,778.81 bilion yang dibentangkan merupakan yang terbesar dibentangkan setakat ini di samping bersifat menyeluruh dan memberi penekanan kepada sektor-sektor utama yang menjadi tunjang kepada Halatuju Pembangunan dan Kemajuan negeri Sabah serta Koridor Pembangunan negeri Sabah.

Mengenai cadangan agar Peruntukan Pembangunan Kecil yang dilaksanakan oleh pejabat-pejabat daerah dirujuk kepada Adun kawasan, beliau berkata, peruntukan tersebut sama seperti peruntukan pembangunan yang lain di bawah kawalan Kementerian kecuali Peruntukan Khas yang perlu ditimbang oleh Jawatankuasa Peringkat Kementerian bagi menentukan keutamaan dan kesesuaian kerana jumlah peruntukan setiap tahun adalah terhad.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan berkonsepkan Mesej Akuakultur dilaksanakan di kawasan Sukau dan berharap Adun di kawsan itu dapat berbincang mengenai perkara itu di peringkat daerah bagi membolehkan cadangan itu diproses atau dipertimbangkan.

Berkenaan dengan isu penyediaan rumah untuk KIRMT di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang sangat kecil jumlahnya di kawasan Bingkor, Pairin berkata pelaksanaan program itu adalah berdasarkan daerah dan tertakluk kepada peruntukan tahunan yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan dengan memberi keutamaan kepada KIRMT yang berdaftar, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

"Sejumlah RM21.0 juta diperuntukkan dalam tahun 2007 untuk pembinaan 1,000 unit rumah melalui Peruntukan Khas Pembasmian Kemiskinan Kerajaan Per-sekutuan. Jumlah yang diagihkan bagi daerah Keningau ialah 35 buah.

"Pada tahun ini kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan juga menyalurkan sejumlah RM10.5 juta bagi tujuan pembinaan rumah untuk KIRMT termasuk golongan OKU dan ibu tunggal, di mana sejumlah RM250 ribu diperuntukkan kepada daerah Keningau untuk pembinaan 10 buah rumah dengan kos RM25,000 sebuah," katanya.

Mengenai perlunya Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dikaji semula, Pairin berkata, ia sememangnya dikaji dari semasa ke semasa dengan mengambil kira petunjuk harga (Consumer Price Index (CPI).

No comments:

Post a Comment

Instaforex