Monday, November 10, 2008

Wujudkan Kerjasama Sejati

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Mewujudkan kerjasama sejati antara bumiputera dan bukan bumiputera adalah lebih bijak berbanding menghapuskan terus pegangan ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, langkah tersebut adalah lebih berkesan untuk menghadapi keadaan ekonomi global yang semakin mencabar ini.

''Melalui kerjasama sejati itu, bumiputera dan bukan bumiputera boleh berkongsi dan belajar pelbagai kepakaran termasuk pengalaman, modal, modal insan, teknologi dan pasaran.

''Selain itu, pelbagai langkah lain juga perlu dibuat untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam aktiviti ekonomi,'' katanya ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan simposium antarabangsa mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA), Kerjasama Perkongsian Ekonomi untuk Asia Timur (CEPEA) dan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP).

Simposium itu dianjurkan oleh Forum Ekonomi Jepun dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, saranan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap proses liberalisasi bagi menggantikan unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) baru-baru ini bukan bertujuan untuk menghapuskan terus dasar tersebut.

''Sebaliknya, ia akan dilakukan secara berperingkat di mana sekiranya bumiputera dianggap belum berjaya, dasar itu akan diteruskan seperti yang terkandung dalam dasar pembangunan nasional.

''Setakat ini, masih banyak kelemahan termasuk ketirisan penyertaan bumiputera dalam ekonomi dan sehingga DEB tamat pada 1990 tidak ada peningkatan dari segi peratusan sehingga kini,'' katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya calon jawatan Ketua Pemuda UMNO mengadakan debat terbuka untuk menerangkan misi masing-masing, Muhyiddin berkata, ia tidak perlu diadakan.

Menurut beliau, ini kerana debat seumpama itu lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

''Apabila berdebat masing-masing akan bertegang urat dan akan terdapat perbezaan pendapat yang ketara. Sepatutnya sebagai ahli UMNO kita harus berkerjasama untuk mengukuhkan kedudukan parti,'' jelasnya.

Beliau berkata, ahli-ahli UMNO sepatutnya pandai menilai sendiri ketokohan pemimpin yang telah berjasa kepada parti dan kerajaan.
-Utusan

No comments:

Post a Comment

Instaforex