Friday, November 21, 2008

Kepentingan fatwa, mufti wujud kesejahteraan hidup

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Sumber: Berita Harian 21 Nov 2008

Keputusan syarak perlu tindakan segera elak kontroversi, polemik daripada melarat


SEJAK dulu lagi, institusi fatwa memainkan peranan penting dalam menyuluhi titian hidup manusia agar ia selaras dengan tuntutan dan kehendak syariat Islam. Kepentingan fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme utama bagi penjelasan hukum syarak dan penyebaran ajarannya merangkumi aspek akidah serta syariat dalam kehidupan manusia.

Melihatkan kepentingan institusi fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting dalam hierarki masyarakat dan kerajaan Islam. Mufti memikul amanah cukup berat lagi getir dalam memimpin umat manusia amnya dan umat Islam khususnya ke arah kebajikan dan kesejahteraan sejagat.

Bahkan mufti adalah satu jawatan yang diberikan kepada seorang alim yang berkelayakan dan berkemampuan serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Akan tetapi tidak semua orang alim itu layak menjadi mufti dan sebaliknya seorang mufti adalah seorang ulama berkewibawaan.

Selanjutnya, jawatan mufti diiktiraf di sisi Enakmen Pentadbiran Islam sebagai pihak berkuasa utama selepas Sultan dalam hal ehwal berkenaan hukum syarak.

Sebagai contoh, ini termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor No 2 1989 seperti nasnya: "Mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, dan dalam semua perkara itu hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Selangor selepas Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen ini."

Ini menunjukkan kepada kita betapa mufti juga mendapat kedudukan istimewa di sisi undang-undang di samping mendapat pengiktirafan daripada Islam sebagai jawatan yang bertanggungjawab penuh dalam misi penjelasan terhadap isu keagamaan serta mengajak seluruh umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan hadis sebagai wadah kesejahteraan ummah.

No comments:

Post a Comment

Instaforex