Sunday, November 23, 2008

Subjek Sains dan Matematik wajar diteruskan dalam bahasa Inggeris: Tun Mahathir

23rd November, 2008

Sumber: New Sabah Times
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) wajar diteruskan untuk memastikan pelajar khususnya bangsa Melayu tidak ketinggalan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata PPSMI bertujuan untuk melengkapkan pelajar di sekolah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik sekaligus menguasai bahasa Inggeris yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"PPSMI itu perlu diteruskan supaya pelajar kita tidak ketinggalan. Bukan bertujuan untuk mengabaikan bahasa Melayu, tetapi sebagai contoh bidang Sains yang dipelopori oleh negara luar menerbitkan buku-buku dalam bahasa Inggeris.

"Seperti telefon bimbit, kalau orang luar buat dengan dilengkapi kamera video, khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi panduannya atau ilmunya dalam bahasa Inggeris, boleh kita menggunakan Sains kita dalam bahasa Melayu untuk membuat telefon bimbit? Waktu itu kalau hendak diterjemahkan dalam bahasa Melayu, kita dah jauh ketinggalan," katanya pada wacana "Dilema Melayu" anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) di sini, kelmarin.

Mengambil contoh zaman kegelapan masyarakat Arab dahulunya, Dr Mahathir berkata pada ketika itu masyarakat tersebut tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan dan hanya mempelajarinya daripada kerajaan Greek.

"Jadi takkan pula masyarakat Arab itu nak minta orang di kerajaan Greek untuk menterjemahkan ilmu mereka ke dalam bahasa mereka (Arab). Penyelesaiannya ialah mereka terpaksa belajar bahasa Greek untuk membolehkan mereka mendalami ilmu. Dengan itu, bangsa Arab menjadi sebuah bangsa yang membangun," katanya.

Beliau berkata keadaan itu juga sama seperti sekarang di mana pelajar perlu menguasai bahasa Inggeris untuk mendalami sesuatu ilmu.

"Kita tidak mampu menterjemahkannya dalam bahasa Melayu kerana pada ketika itu kita kekurangan pakar. Kalau nak diterjemahkan, kita akan terus ketinggalan dan sebab itu kewajarannya perlu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Dr Mahathir berkata walaupun dilaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris, ia tidak bermakna bahasa Melayu dipinggirkan.

No comments:

Post a Comment

Instaforex