Sunday, November 23, 2008

Revolusi Mental : Perubahan Pemuda UMNO Kepada Yang Lebih Berwibawa

Sumber: Dr Novandri Hasan Basri

Pada awal tahun 1968, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai oleh Allahyarham Senu Abdul Rahman, telah menubuhkan satu jawatankuasa yang di namakan Jawatankuasa Revolusi Mental. Revolusi Mental merupakan suatu usaha gerakan perubahan kepada sikap, perangai dan pemikiran orang Melayu agar menjadi satu bangsa yang berdaya saing, terpuji dan mampu berdiri sendiri.

Berlandaskan kepada kajian, penelitian dan kesedaran yang mendalam terhadap belenggu yang di alami oleh kaum Melayu, Jawatankuasa Revolusi Mental tersebut telah menerbitkan buku bertajuk Revolusi Mental.

Di dalam kolum Perutusan, Allahyarham Tun Hj Abdul Razak b. Hussein, Perdana Menteri Malaysia ke-2, menyifatkan buku ini sebagai satu batu tanda yang penting dalam daya pemikiran cerdik pandai kita bagi menggalakkan pembangunan masyarakat Melayu.

Percayalah, 40 tahun telah berlalu tapi intipati buku tersebut masih relevan lagi sehinggalah ke hari ini. Kekhuatiran yang ditimbulkan pada masa itu, masih menghantui kita pada hari ini. Belenggu yang dipikul oleh generasi Melayu tahun 60-an, masih turut dipikul oleh generasi Melayu hari ini.

Jika kita membuat perbandingan, intipati pemikiran dan penyelesaian yang digariskan pada hari ini, hampir sama dengan yang digariskan di dalam buku Revolusi Mental yang berusia 40 tahun itu.

Cuma perbezaannya ialah dari segi intonasi, susunan ayat-ayatnya dan kekuatan buktinya yang berlandaskan kepada statistik.

Jawatankuasa Revolusi Mental Pemuda UMNO Malaysia telah membuat kesimpulan bahawa jawapannya terletak pada cara pemikiran kaum Melayu itu sendiri.

Jika perubahan benar-benar mahu dilaksanakan, maka perubahan cara pemikiran sahaja yang akan dapat melahirkan perubahan yang diingini serta dikehendaki di dalam masyarakat Melayu keseluruhannya.

Di dalam buku Revolusi Mental, Allahyarham Tun Abdul Razak Tun Hessein telah mengsyorkan supaya buku ini dibaca oleh setiap orang Melayu semoga ajaran-ajarannya yang baik akan tersebar luas.

Penulis amat bersetuju dengan saranan tersebut, biar pun ianya 40 tahun yang lalu. Lebih-lebih lagi buku tersebut merupakan hasil tulisan berbentuk ilmiah yang dihasilkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Saranan ini tentunya juga ditujukan kepada setiap ahli Pemuda UMNO.

Maka, adalah sangat wajar jika setiap ahli UMNO dan orang Melayu keseluruhannya, membaca dan memahami kembali intipati buku tersebut dan bersama-sama berusaha menggerakkan satu perubahan minda yang lebih positif, mampan serta berdaya saing.

Dalam masa yang sama, seperti yang kita ketahui, pelbagai cerdik pandai juga telah mengenengahkan pelbagai isu kontemporari kaum Melayu daripada satu perspektif yang berbeza dan sepatutnya disahut serta dicanangkan dengan lebih hebat oleh pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya kepimpinan Pemuda UMNO.

Makanya, kita amat mengharapkan agar lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin Melayu yang tampil ke hadapan serta menyumbang buah fikiran yang berbentuk ilmiah serta bersandarkan analisis statistik (statistic analysis), di dalam media-media tradisional dan juga alternatif.

Realitinya, kita semua sudah tahu dengan belenggu yang kita alami tapi dengan fakta dan angka (facts & figures) yang nyata, mata dan minda kita akan terbuka dengan lebih luas dan berasa lebih insaf.

Tentunya juga, segala topik-topik ilmiah ini diharapkan dapat meninggalkan kesan positif kepada orang Melayu kerana orang Melayu sudah kerap kali membaca, mendengar serta diperingatkan tentang status sosioekonomi kita, baik di dalam negara sendiri mahu pun di dunia yang berpegang kepada globalisasi dan liberalisasi.

Ramai yang mengeluh panjang dengan viscous cycle isu kaum Melayu, seperti peribahasa di situ juga gendang berbunyi, yang bermaksud sentiasa sama sahaja; tidak berubah.

Gelombang kekhuatiran yang kita alami pula tampak bersifat sementara, periodical dan tidak lama lagi, kita akan kembali komplesen dan di takuk lama.

Situasi di atas menjadi lebih buruk lagi apabila artikel-artikel ilmiah yang bertujuan mewujudkan kesedaran kepada orang Melayu, sukar untuk disampaikan kepada minda umum memandangkan kita lebih berminat untuk membaca majalah-majalah hiburan atau pun tidak minat langsung untuk membaca.

Walaupun peribahasa Melayu mengatakan ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya, di mana susah untuk mengubah tabiat seseorang, perjuangan untuk meyedarkan serta mengubah perenggu minda (mindset) orang Melayu mesti diteruskan dengan konsisten dan persisten, tanpa jemu.

Pokoknya, enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diperkatakan iaitu nasihat yang baik perlu diulang menyebutnya. Maksudnya, kita tidak boleh berputus asa dan jangan mudah lupa.

Di samping itu, Pemuda UMNO Malaysia perlu melakukan reengineering
dengan mengubah kerangka dan gerak kerja setiap kepimpinannya, dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat. Pemimpin-pemimpin Pemuda perlulah yang lebih berwibawa, bervisi jauh, berilmu dan yang mampu membawa Pemuda UMNO ke satu tahap yang lebih baik daripada sekarang.

Rujukan untuk tambah pengetahuan : Menjejaki Sejarah Pemuda UMNO

No comments:

Post a Comment

Instaforex