Sunday, November 23, 2008

Pekebun kecil digesa bentuk persatuan tangani masalah

Sumber: New Sabah Times
KOTA KINABALU: Para pekebun kecil kelapa sawit digesa agar membentuk persatuan bagi memudahkan apa juga permasalahan yang mereka hadapi dapat ditangani oleh Jawatankuasa Khas yang akan dibentuk oleh kerajaan negeri bagi memantau industri kelapa sawit di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, dengan adanya persatuan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit itu nanti, apa juga isu yang berkaitan dengan perkara itu boleh dibincangkan dengan jawatankuasa berkenaan kelak.

Ini termasuklah apa juga bentuk bantuan yang boleh disampaikan kepada mereka oleh kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan," kataya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa khas yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman semasa menggulung perbahasan Bajet Negeri 2009 di Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Khamis menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat prihatin dan sedia mendengar keluhan rakyat di peringkat akar umbi.

Jumaat lalu, Musa yang juga Menteri Kewangan ketika menggulung perbahasan Bajet Negeri 2009 pada persidangan DUN, berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk memantau industri minyak kelapa sawit dan akan mengenalpasti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada para pekebun kecil kelapa sawit.

Ini ekoran kerugian yang dialami oleh pekabun kecil kelapa sawit akibat kejatuhan harga buah tandan segar (FFB) dan turut menghadapi masalah keengganan pengilang membeli buah kelapa sawit.

Tawfiq berkata, keperluan untuk membantu para pekebun kecil kelapa sawit ini adalah akibat berlakunya masalah penurunan drastik harga komoditi itu di pasaran dunia dan juga permintaan menurun daripada negara-negara pembeli.

"Keadaan ini menyebabkan ramai pekebun kecil tidak dapat menjual hasil kelapa sawit mereka, di samping itu para pekebun kecil juga menghadapi kesulitan ekoran harga buah sawit yang rendah manakala harga baja pula terlalu tinggi," katanya.

Di samping itu, katanya, para pekebun kecil kelapa sawit juga menerima tempias dengan cukai jualan 7.5 peratus yang dikena terhadap minyak sawit mentah (CPO).

Menurutnya, kutipan hasil menerusi cukai jualan 7.5 peratus CPO merupakan antara sumber terbesar iaitu 30 peratus daripada jumlah kutipan hasil negeri dalam tahun ini.

"Ianya amat penting untuk memastikan momentum pembangunan negeri dan kesejehteraan rakyat dapat diteruskan di tahun-tahun akan datang," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Instaforex