Oleh Zailan Mohamad
'SETIAP daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka', maksud hadis Rasulullah s.a.w., riwayat Baihaqi dan Tirmizi yang menggambarkan gaya hidup mengamalkan rasuah akan mempengaruhi integriti keturunan dan generasi pelakunya di masa akan datang.
Berdasarkan hadis itu jelas ada kaitan kuat bahawa keturunan dan anak pinak yang bersumber daripada darah daging haram akan kemungkinan besar terpengaruh dengan gaya hidup menjerumuskan ke dalam api neraka.
Apakah kita rela mewariskan dan menanamkan kesinambungan sifat keji dalam diri keluarga kita?
Tepuk dada, tanyalah iman.
'Tumbuk rusuk, duit kopi antara sinonim bagi rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri.
Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap 'pilih kasih' dalam tindakannya.
Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab "al-rishwah".
Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa serta sudah pasti mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini.
Ini dapat dilihat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka".
Begitu juga dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 188 yang bermaksud:
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya".
Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat.
Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka.
Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t. harus dititikberatkan dalam apa juga urusan.
Justeru, antara langkah mencegah rasuah adalah seperti memantapkan iman dan mengukuhkan jatidiri.
Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah.
Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin, peniaga, atau kakitangan pejabat maka amalan rasuah dapat diatasi.
Kekuatan iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.
Begitu juga benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi.
Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas.
Ini dapat membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.
Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara.
Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.
Sehubungan itu, usaha kerajaan yang akan melancarkan gerakan membanteras rasuah menggunakan pendekatan agama dalam sektor awam melalui kempen 'Jihad Memerangi Rasuah' dengan tumpuan meningkatkan kesedaran dan menanam keinsafan di kalangan kakitangan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata gerakan itu yang akan berteraskan pendekatan keagamaan adalah sokongan kepada usaha Suruhanjaya Antirasuah Malaysia (MCAC).
"Kerajaan memang bagi perhatian serius terhadap isu rasuah dan dalam sektor awam, kita akan terapkan kesedaran pada peringkat pegawai dan kakitangan.
"Jika tidak dibendung segera, rasuah ibarat anai-anai yang boleh merosakkan," katanya.
Monday, November 10, 2008
Jihad Perangi Rasuah – Perlukan Komitmen Semua Pihak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment