Friday, November 28, 2008

Jabatan Pertanian saran petani daftar bagi dapatkan insentif tanaman

27th November, 2008

Sumber: New Sabah Times

KOTA KINABALU: Jabatan Pertanian Sabah menyarankan para petani dan pengusaha pertanian di negeri ini berdaftar di jabatan itu untuk melayakkan mereka mendapatkan insentif tanaman melalui Program Insentif Tanaman di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan.

Penolong Pengarah Pertanian Sabah (Tanaman Singkat Masa) Abdul Fattah Awg Yaakub berkata, ia penting bagi membolehkan pihak jabatan mengenalpasti para petani dan pengusaha yang layak mendapatkan insentif berkenaan.

Katanya, tujuan pemberian insentif itu adalah untuk meringankan beban pengusaha sektor pertanian berikutan kenaikan kos pengeluaran.

Selain itu katanya ia juga menggalakkan para petani dan pengusaha pertanian melipatgandakan usaha mereka untuk meningkatkan pengeluaran tanaman makanan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Jenis tanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan yang diberikan insentif ialah cili, sawi, kubis, peria, kacang buncis, kalian, petola, halia, terung, bayam, kacang panjang, tomato, salad, kangkung, timun, bendi, labu manis, ubi kayu, jagung manis, keledek dan sengkuang.

“Manakala jenis buah-buahan pula ialah nanas, belimbing, betik, jambu, limau, mangga, nangka, tembikai, pisang, durian, rambutan, kelapa, manggis, dokong, duku, langsat, cempedak, longan, salak dan pitaya,” katanya, kepada New Sabah Times, di sini, kelmarin.

Abdul Fattah yang juga penyelaras program insentif itu berkata, pemberian insentif itu adalah selaras dengan objektif jabatan yang mahu menggalak dan mempercepatkan pembangunan tanaman pertanian, mendorong para pengusaha pertanian tanaman meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan mereka.

Katanya lagi, kadar insentif yang diberikan adalah RM81 satu tan metrik bagi tanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan, manakala bagi tanaman buah-buahan pula ialah RM78 bagi satu tan metrik.

“Insentif yang diberikan adalah berda-sarkan kepada pengeluaran hasil yang dijual sahaja. Ini bermakna, lebih banyak hasil pertanian yang dikeluarkan oleh para petani, lebih tinggi insentif yang mereka perolehi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana di peringkat Sabah tidak ada peruntukan khusus untuk program ini, maka sesiapa yang mendaftar awal akan diberi keutamaan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua petani dan pengusaha pertanian di seluruh negeri supaya merebut program insentif yang disediakan oleh kerajaan.

“Bagi mereka yang berada di luar Kota Kinabalu, mereka bolehlah berhubung terus kepada pegawai kami di Pejabat Pertanian daerah masing-masing, untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Dari segi pembayaran insentif, Abdul Fattah berkata sekiranya tuntutan melebihi RM10 ribu bagi seorang untuk satu bulan, kelulusan adalah di bawah Jawatankuasa Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pertanian tetapi sekiranya tuntutan mereka kurang daripada RM10 ribu maka kelulusan di bawah Jawatankuasa Peringkat Daerah.

“Tuntutan pembayaran insentif akan dimasukkan terus ke dalam akaun Agro Bank setiap pemohon. Oleh itu setiap petani atau pengusaha yang berdaftar untuk program ini perlu membuka akaun di Agro bank,” katanya.

Antara syarat kelayakan untuk mendapatkan insentif ini ialah, pemohon mestilah berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Sabah, warganegara Malaysia, pengusaha individu, syarikat dan institusi, mengusahakan tanah sendiri, di sewa, dipajak atau lain-lain status tanah yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa berkaitan dan mempunyai rekod ladang.

2 comments:

  1. saranan yg amat menggalakkan utk.bidang usaha pertanian. p.s moderator: its good if you can create a slot for history on comments made by readers for reference purposes.

    ReplyDelete

Instaforex