Sunday, December 7, 2008

500 rumah daif diberi bantuan RM8,000-RM10,000

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Haji Abdul Ghapur Haji Salleh memberitahu bahawa sebanyak 500 rumah-rumah daif di kawasan Parlimen Kalaba-kan akan diberikan bantuan oleh kerajaan untuk diperbaiki, bernilai di antara RM 8,000 hingga RM10,000 bagi setiap rumah.

Katanya, daripada kesemua jumlah rumah daif terbabit, 200 daripadanya terletak di kawasan DUN Sebatik dan masing-masing 150 buah rumah di kawasan DUN Merotai dan DUN Tanjung Batu.

“Di kawasan Parlimen Kalabakan ini sebenarnya terdapat 2,000 rumah-rumah yang berkeadaan daif dan terlalu uzur. Saya telah membawakan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan buat permulaan, beliau telah meluluskan peruntukan untuk 500 buah rumah,” katanya.

Ketika ini jelasnya, bahan-bahan material seperti kayu, papan, zink dan sebagainya sedang giat diagih-agihkan kepada penduduk yang terlibat dan beliau berharap, bantuan yang diberikan kerajaan itu dapat memberikan mereka kediaman yang lebih selesa dan selamat.

“Ini adalah antara bukti keprihatinan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat. Saya berharap masyarakat sedar perkara ini dan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan pembangunan yang akan dilakukan di kawasan parlimennya, semasa ditemui di Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Kg. Pasir Putih di sini, kelmarin. Majlis Berkhatan Beramai-ramai itu dianjurkan oleh Umno Kalabakan dengan kerjasama USIA Cawangan Kg. Pasir Putih Tawau.

Menyentuh perkembangan lain pula, Ghapur menyatakan yang beliau menjangkakan seluruh penduduk di Pulau Sebatik akan dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam dalam tempoh dua tahun ini, berikutan Projek Penyambungan Bekalan Elektrik Melalui Dasar Laut akan dimulakan awal tahun hadapan.

Untuk bekalan air pula jelasnya, kemudahan asas tersebut yang kini hanya dinikmati oleh 540 penduduk di Kg. Sungai Tamang dan Kg. Wallace Bay, akan dibekalkan tidak lama lagi sehingga ke kawasan Kg. Bergosong sekaligus ke seluruh kawasan pulau.

Manakala projek pembekalan bibit sawit untuk 10 penduduk di pulau berkenaan pula akan dimulakan pada akhir bulan ini, sebagai bantuan untuk mereka menjana pendapatan diri dan keluarga.

Sementara itu ketika berucap di majlis itu pula, Ghapur meminta semua penduduk di kawasan Parlimen Kalabakan agar terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dan tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah pembangkang.

Beliau katanya berasa kesal kerana pada pilihan raya lalu, Barisan Nasional hanya mendapat majoriti empat undi di kawasan Pasir Putih dan perkara itu tegasnya, tidak seharusnya berlaku kerana BN banyak membangunkan kawasan tersebut.

“Dulu kampung ini tidak ada air, jalan dan sebagainya. Sekarang ini semua sudah ada termasuk rumah-rumah ibadat. Saya harap masyarakat menghargai budi baik Kerajaan BN kerana calon pembangkang hanya datang pada musim pilihan raya untuk mengaburi mata rakyat,” kata beliau.

Dalam hal berlainan, beliau turut menyeru golongan ibubapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka serta tidak mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka.

Pihaknya juga jelasnya, bersedia memberi bantuan sehingga ke universiti kepada anak-anak cemerlang dari kalangan keluarga kurang berkemampuan, sehingga mereka tamat pengajian di universiti.

Menyentuh majlis ber-khatan itu, beliau menyifatkan Program Berkhatan Beramai-ramai sebagai lambang perpaduan di kalangan masyarakat, yang perlu dikekalkan selama-lamanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Merotai Ismail Ait, PKR Sebatik Zakaria Sulaiman, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kalabakan Mohd Gasing Saling, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tawau Aziz Zakaria, rombongan Umno Kalabakan, para pemimpin akar umbi serta masyarakat kampung.

Seramai 105 kanak-kanak menjalani upacara berkhatan tersebut.

2 comments:

  1. Semoga YB-YB yang ada di Ranau dapat mengambil inisiatif seperti YB Datuk Ghafur dalam merintis jalan untuk membantu penduduk Ranau yang memerlukan.

    ReplyDelete