Sunday, December 7, 2008

Pencari kerja perlu daftar dengan JTK: Yee

KOTA KINABALU: Menteri Pembangu-nan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr Yee Moh Chai, meminta semua pencari kerja yang ingin bekerja di Singapura supaya berdaftar dengan agen yang berdaftar dengan Jabatan Te-naga Kerja (JTK).

Beliau berkata, ini penting bagi mengelak golongan belia atau pencari kerja ditipu oleh agen-agen yang tidak bertanggungjawab.

“Di Sabah, hanya ada sebuah sahaja agensi pengambilan pekerja yang berdaftar dengan JTK. Seperti yang kita sedia maklum, ramai belia-belia kita yang bekerja di Singapura di-tipu oleh agen-agen yang tidak sah dan tidak bertanggungjawab.

“Dengan itu adalah perlu, golongan belia yang ingin bekerja di Singapura berdaftar dengan JTK,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Kerjaya 2008 bertemakan ‘ICT Teras Pembangunan Modal Insan’ anjuran Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan, Likas, di sini, kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Tekno-logi Maklumat merangkap Pengerusi Jawatan-kuasa Penganjur Ekspo Kerjaya Datuk Abidin Madingkir.

Yee berkata, sejak Sabah Job Centre mula beroperasi pada November lalu, seramai 5,474 orang pencari kerja dan 300 majikan telah mendaftar di dalam sistem itu.

“Kita menggalakkan majikan di negeri ini menggunakan perkhidmatan itu untuk mencari pekerja. Kita akan melipatgandakan usaha agar lebih ramai pencari kerja berdaftar mendapat pekerjaan, seterusnya mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

“Saya percaya kelembapan ekonomi global yang kini sedang berlaku, ramai pekerja dijangka akan diberhentikan. Dalam pada itu, Sabah Job Centre mempunyai peranan penting untuk mendaftarkan dan membantu mereka mendapat pekerjaan lain,” katanya.

Beliau berkata, para pencari kerja juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran sampingan yang diperlukan oleh para majikan, bagi memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan.

Katanya, ini kerana dengan hanya mempunyai segulung ijazah atau diploma belum pasti mereka mendapat pekerjaan yang diidamkan.

“Kemahiran tambahan yang perlu bagi membolehkan pencari kerja bersaing di pasaran pekerjaan, antaranya kemahiran berkomunikasi dengan baik, kemahiran ber-fikir secara kreatif sewaktu menyampaikan idea-idea dan pengusaan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) .

“Oleh itu ekspo ini adalah satu inisiatif yang patut dipuji kerana ia dapat mempertemukan para pencari kerja dengan bakal-bakal majikan serta memberi peluang kepada pencari kerja mendapatkan informasi terkini mengenai peluang-peluang kerja serta keperluan yang dikehendaki oleh majikan sebelum seseorang itu diambil bekerja,” katanya.

Yee berkata, majikan digalakkan menyertai Expo Kerjaya seumpama ini kerana ia merupakan platform terbaik untuk mencari bakal tenaga kerja seterusnya memperkenalkan syarikat masing-masing.

“Dalam usaha kementerian saya untuk bekerjasama dengan majikan swasta untuk menyediakan peluang pekerjaan, para pencari kerja juga harus berfikiran positif dengan tidak memilih pekerjaan.

“Terimalah pekerjaan itu dengan niat untuk terus menimba ilmu, pengalaman serta kemahiran. Ini dapat membantu dalam peningkatan kerjaya,” katanya.

1 comment:

  1. Harap-harap belia kita jangan terperdaya lagi dengan tawaran kerja yang indah khabar dari rupa.

    ReplyDelete

Instaforex