Thursday, December 11, 2008

Ubah sikap untuk parti

Saya amat tertarik dengan artikel yang ditulis oleh sdr Dr Novandri Hasan Basri berkenaan dengan topik yang dibincang dibawah. Kita berharap isu-isu yang disebut dapat dihayati dan difahami sebagai seorang ahli parti tentang bagaimana kita dapat berjuang untuk menegakkan dan mempertahankan kepentingan hak bumiputera kita. Parti harus dijadikan teras kepada perpaduan antara hubungan manusia bukan untuk membinasakan dan menjatuhkan sesama sendiri.

Untuk rujukan, artikel ini pernah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada tahun 2000 (8 tahun yang lepas).

Sila ikuti artikel ini dibawah.


SEMUA pihak sudah sepakat penjanaan semula (reengineering) dalam UMNO perlu disegerakan.

Akan tetapi, bagi saya, penjanaan semula tersebut perlu tepat kepada punca segala permasalahan tersebut.

Bagi saya, sangat ketara sekali didapati bahawa punca kepada segala masalah dalam UMNO adalah dari aspek kepincangan sikap dan niat sesetengah ahli-ahli UMNO itu sendiri dan bukannya daripada aspek perlembangan parti itu.

Perkara ini telah dibuktikan berdasarkan kepada fakta sejarah dan juga segala amaran ataupun pandangan pucuk pimpinan.

Dengan itu, penjanaan semula yang berkesan untuk menghasilkan anjakan paradigma UMNO, perlu difokuskan kepada membersihkan sikap dan niat sesetengah ahli-ahli parti itu dahulu.

Hanya setelah segala sikap dan budaya negatif ini dibuang jauh, barulah UMNO berjaya dalam meningkatkan imej dan memperkukuhkan parti tersebut.

Tiada gunanya mengubah perlembangan UMNO, jika terdapat pengamal-pengamal perlembangan yang masih menjiwai segala budaya negatif, seperti digariskan oleh pucuk pimpinan.

Ini adalah kerana mereka tentu akan mencari jalan lain, semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Sayangnya, segala tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini umpama nila setitik, rosak susu sebelanga. Ahli-ahli UMNO yang selama ini benar-benar ikhlas dan murni niat mereka, akan turut ditempelak disebabkan oleh kepincangan sikap dan niat sesetengah orang UMNO itu.

Prosedur untuk menjadi ahli pula perlu lebih telus. Malah pengambilan ahli-ahli baru perlu secara berterusan dan bukannya secara berkala seperti sekarang.

Ketua-ketua cawangan ataupun bahagian yang sengaja menidakkan permohonan ahli-ahli baru perlu insaf dan lebih mengamalkan semangat berpasukan dan kepentingan Melayu keseluruhannya.

Kitapun sudah maklum bahawa wujudnya pemimpin-pemimpin di akar umbi adalah untuk memelihara dan melaksanakan amanah yang diberikan oleh bangsa Melayu yang menyokong perjuangan UMNO.

Kerana itu, mereka yang terlibat ini perlu sentiasa berhati-hati. Mereka juga mesti berusaha untuk merapatkan diri dengan ahli-ahli biasa dengan lebih kerap dan ikhlas, tanpa perlu protokol ataupun birokrasi yang tenyata telah menjauhkan ahli-ahli daripada pemimpin mereka.

Lebih-lebih lagi apabila pemimpin-pemimpin hari ini terpaksa berdepan dengan bangsa Melayu yang juga berpelajaran tinggi, luas pengalaman dan berpengetahuan sehinggakan jurang yang membezakan kebolehan di antara pemimpin dengan orang Melayu lain menjadi sangat kecil.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin hari ini perlu ada tingkah laku ataupun ketokohan yang dikagumi dan lebih istimewa daripada orang Melayu yang lain.

Kelebihan persaingan ini amat diperlukan supaya pemimpin tersebut disegani dan disokong penuh oleh bangsa Melayu zaman alaf baru ini.

Malah bangsa Melayu hari ini lebih kritis dan tidak lagi menerima sesuatu berita ataupun kenyataan dengan membuta tuli. Pokoknya, bangsa Melayu hari ini hanya mahukan pemimpin-pemimpin yang kewibawaannya diserlahkan melalui hasil kerja mereka dan bukannya dengan cakap-cakap kosong lagi berputar belit.

Presiden UMNO telah menasihatkan kita dengan berkata, Peliharalah UMNO sebagai satu tanggungjawab yang mulia. Singkir dan hapuskanlah sifat-sifat yang hina, ketamakan tempat dan kuasa. Hentikanlah rebutan jawatan. Utamakanlah pengabdian diri kepada agama, bangsa dan tanah air.

Bersyukurlah dengan nikmat Tuhan. Perjuangan untuk diri sendiri tidak kekal. Hanya perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air yang lebih kekal dan bermakna.

Begitulah nasihat Presiden UMNO di masa Perhimpunan Agung UMNO tahun 1995 yang lama dahulu.

Maka dengan ini, diharapkan agar kita sama-sama menghayati dan mempraktikkan segala nasihat Presiden UMNO. Semoga UMNO dapat mengembalikan kegemilangannya serta diterima kembali oleh seluruh bangsa Melayu.

1 comment:

  1. Semoga pahit yang telah berlaku tidak akan berulang lagi,insyallah.

    ReplyDelete

Instaforex