Saturday, December 6, 2008

‘One Stop Center’: Pendekatan Kolektif Tangani Permasalahan Remaja

Sumber: YADIM

Oleh ROSMAN MD SHAH

Mendepani maruah remaja Melayu masa kini memerlukan komitmen yang berterusan dan terancang. Pendekatan ortodoks seperti menyerahkan tanggungjawab membimbing remaja-remaja Melayu melalui institusi pendidikan seratus peratus, adalah sesuatu yang harus diperhalusi oleh masyarakat. Tanggungjawab membimbing remaja seharusnya digalas oleh semua pihak. Namun, pendekatan yang perlu dilakukan seharusnya bercorak kolektif supaya ia lebih berkesan.

Kajian Illiet Turiel , seorang pengkaji perkembangan kognitif remaja menyatakan, golongan remaja atau ´peer group´ ini mudah diresapi oleh pelbagai elemen positif dan negatif bergantung kepada corak persekitaran. Ini bermakna, seandainya kosmos remaja itu sentiasa diwarnai perkara-perkara positif, maka individu remaja itu akan bertindak sebagai seorang yang positif dan begitulah sebaliknya. Persoalannya, bagaimanakah proses yang seharusnya dilaksanakan dalam mengekang permasalahan membabitkan remaja? Adakah mekanisme menangani gejala sosial di kalangan remaja yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah mencukupi dan berkesan? Atau, remaja hari ini memerlukan satu pendekatan baru yang bersifat kolektif dalam memberikan ruang harapan kepada mereka yang telah terjebak kembali ke jalan yang lurus?

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah banyak menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bercorak pembangunan remaja. Kempen Kesedaran Anti Dadah Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan baru-baru ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani permasalahan remaja yang terlibat dalam gejala penagihan dadah. Begitu juga dengan kempen Menjaga Maruah Diri yang dilancarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Kempen ini dilancarkan untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja wanita supaya tidak terbabit dalam kegiatan maksiat dalam proses memelihara maruah diri supaya tidak tercemar. Ia juga bertujuan mengekang permasalahan seks bebas dan gejala kelahiran anak luar nikah akibat perlakuan seks sebelum nikah dengan pasangan masing-masing.

Namun begitu, dalam konteks membangunkan maruah remaja secara kolektif, sudah sampai masanya agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat memainkan peranan yang lebih efisien sebagai sokongan terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan. Dewasa ini, kita sebenarnya masih kekurangan pusat-pusat kaunseling yang memberikan khidmat secara percuma kepada golongan remaja. Pusat-pusat kaunseling ini bertindak sebagai ´ One Stop Center´ kepada golongan remaja – berbincang dalam pertemuan hati ke hati dengan pihak kaunselor .

Modul yang ada dalam menangani masalah remaja masa kini, harus disertai dengan tindakan susulan. Tidak ada gunanya kerajaan mahu pun agensi-agensi berkaitan berbelanja ribuan ringgit menganjurkan pelbagai program dan kempen tetapi hasilnya ibarat ´mencurahkan air pada daun keladi´. Oleh hal yang demikian, input tambahan yang diklasifikasikan sebagai tindakan susulan ialah mewujudkan ´One Stop Center´. Para remaja yang bermasalah akan dibimbing oleh kaunselor di ´One Stop Center´ dan dibantu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi.

Dalam membicarakan keberkesanan konsep ´One Stop Center´ sebagai satu bentuk kolektif dalam menangani permasalahan remaja, menurut Jean Pigeat, dimensi kognitif remaja pada peringkat umur 18 tahun sudah mempunyai kapisiti untuk menyelesaikan perkara-perkara abstrak dan berfikir secara logik. Ini bermakna, golongan remaja tidak hanya menyerap bulat-bulat apa yang berada disekeliling mereka tetapi menyaring berdasarkan pemikiran yang logik. Oleh hal yang demikian, keterbatasan logik yang dibayangi oleh naluri remaja itu perlu dibangunkan secara teratur melalui bimbingan para kaunselor yang berada di ´one stop center´ itu.

Sementara itu, menurut Reed Larson, seseorang remaja itu cenderung untuk berubah perwatakan (mood) dalam masa 45 minit sahaja. Justeru, aspek yang harus dibangunkan bagi memelihara perubahan tersebut supaya tidak berubah menjadi sesuatu yang negatif, aspek kendiri iaitu pembinaan jati diri remaja harus diberikan perhatian sewajarnya. Reed Larson dalam pemerhatiannya menyatakan, remaja yang diwarnai dengan nilai-nilai kendiri positif akan membesar sebagai seorang yang positif sifatnya, dinamik sikapnya dan rasional pemikirannya.

Berbanding dengan remaja yang diabaikan aspek pembinaan kendirinya, mereka cenderung untuk melepaskan gejolak perasan dengan melakukan ´escapisme´ sebagai jalan keluar. ´Escapisme´ inilah yang diterjemahkan oleh pengkaji psikologi sebagai unsur menarik perhatian individu lain terutama kelompok yang dekat dengan mereka seperti ahli keluarga atau sahabat andai. Sikap ´escapisme´ ini harus ditangani secara bijak. Ibarat ´menarik rambut di dalam tepung´, jiwa remaja yang gemar kepada ´escapisme´ negatif dibimbing ke arah yang lebih positif dan teratur.

´One Stop Center´ kaunseling remaja adalah alternatif kepada pencarian jawapan pendekatan kolektif yang dicari-cari dalam menangani permasalahan remaja. Namun begitu, kejayaan pendekatan ini bergantung kepada kesediaan agensi-agensi bukan kerajaan dan masyarakat untuk turun padang, berganding bahu membantu membentuk remaja yang berkualiti. Modul sedia ada tentang tatacara menangani permasalahan sosial remaja boleh digabungjalin dengan pendekatan ini supaya ia lebih berkesan dan efektif.

No comments:

Post a Comment

Instaforex