Wednesday, December 10, 2008

PPP boleh keluar BN jika mahu - PM

Sumber: mStar Online

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) bebas membuat pilihan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika itulah pilihan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

"Jika itu pilihan mereka, apa yang kami boleh buat ?" katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini hari ini.

PPP telah mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda sebelum Pilihan Raya Umum ke13 ataupun parti itu akan keluar daripada BN.

Abdullah berkata kerajaan tiada perancangan untuk meminda akta tersebut.

Presiden PPP, Datuk M. Kayveas tidak hadir pada mesyuarat hari ini dan menghantar wakilnya.

Ditanya sama ada mesyuarat berkenaan ada membincangkan isu sensitif, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata pelbagai isu sensitif dibincangkan tetapi tidak perlulah disenaraikan.

"Kita mengambil sikap terbuka dan memahami bahawa kami semua (parti-parti komponen) (terletak) di bawah satu parti besar BN dan kami juga bertanggungjawab kepada banyak perkara secara bersama.

"Kerajaan yang wujud adalah yang berkongsi kuasa berasaskan konsensus iaitu kita mengamalkan tanggungjawab bersama, maka dengan itu tidak ada perkara yang sensitif yang tidak dibincangkan," katanya.

Pada masa sama, Abdullah berkata, tidak ada sesiapa yang membangkitkan atau membuat kenyataan mengenai isu mahu keluar daripada BN pada mesyuarat berkenaan.

No comments:

Post a Comment