Tuesday, December 2, 2008

Harga minyak turun lagi, rendah sebelum paras Jun

Turun kali keenam

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol dan diesel turun sebanyak 10 sen seliter masing-masing berkuatkuasa esok, 3 Disember, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan hari ini.

Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.00 seliter kepada RM1.90 seliter, petrol RON92 pula dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter manakala diesel dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pengurangan harga minyak akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji dan kali ini ia dijangka hanya melibatkan petrol sahaja.

Penurunan harga petrol itu, katanya tidak akan melebihi 15 sen.

"Kita sekarang berdepan dengan keadaan luar biasa di mana harga diesel di pasaran dunia adalah lebih tinggi daripada petrol dan sebab itu kerajaan masih memberi subsidi RM1.43 untuk harga diesel," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penutupan Seminar Pembangunan Perniagaan Bagi Peniaga dan Usahawan Kecil di Johor Bahru.

Dengan penurunan itu harga minyak petrol RON97 dijangka turun daripada RM2 kepada RM1.85 seliter manakala RON92 daripada RM1.90 kepada RM1.75 seliter.

Pada 17 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Bagaimanapun, Shahrir berkata keputusan mengenai mekanisme penetapan harga minyak tidak sempat dibincangkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang diadakan di Putrajaya hari ini kerana perbincangan lebih tertumpu kepada aspek keselamatan negara.

"Kita mungkin akan membincangkannya pada mesyuarat Exco selepas Hari Raya Haji nanti," katanya.

Kerajaan sekarang sedang menimbang sama ada memilih mekanisme penetapan harga minyak berasaskan harga lantai atau pengapungan terurus.

Mengenai rungutan pengguna berkaitan kedegilan peniaga menurunkan harga barang-barang walaupun harga minyak turun, beliau berkata pada masa sekarang peniaga khasnya yang menjual barang yang dikilangkan tidak dapat berbuat demikian.

"Mereka tidak dapat menurunkan harga barang yang dikilangkan pada masa sekarang kerana harga barangan terbabit adalah berasaskan harga tempahan sebelum pengumuman penurunan harga minyak," katanya.

Para peniaga, bagaimanapun memberi jaminan bahawa barang-barang yang dikilangkan akan lebih murah pada suku pertama tahun depan.

Katanya harga makanan di kedai-kedai makan masih mahal kerana harga ditentukan oleh permintaan yang tinggi.

"Pengguna masih lagi membeli makanan di kedai-kedai makan walaupun peniaga mengenakan harga yang tinggi," katanya.BERNAMA

2 comments:

  1. "Harga minyak turun lagi, rendah sebelum paras Jun"


    1. Benar harga petrol telah turun.

    2. Sekarang tugas kerajaan ialah memastikan harga barangan keperluan seperti makanan dan bahan binaan dapat diturun ke tahap sebelum paras Jun 2008.

    3. Ini adalah salah satu ujian bakal PM Najib yang terpenting dilakukan kerana bakal mantan PM tidak akan sempat lakukan apa-apa dalam 3 bulan akan datang, selepas tindakannya menaikkan harga minyak dahulu.

    LAN

    ReplyDelete
  2. Satu tindakan bijak yang boleh mendatangkan memberi manafaat kepada rakyat kita.

    Jika kita lihat keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, pengurangan ini bakal memberi kebaikan kepada rakyat untuk berbelanja secara berhemat melalui pengalaman tutun-naik harga minyak, sekurang-kurangnya harapan ini juga akan merancakkan ekonomi negara.

    ReplyDelete