KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek diminta menuntut maaf secara terbuka kepada orang Melayu mengenai kenyataannya berhubung 'ketuanan Melayu', yang didakwa 'memfitnah dan berbaur hasutan' untuk membenci orang Melayu.
Dalam notis tuntutan yang dibuat Tetuan Azam Aziz & Rose Maria, anggota Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Apis Md Johar, turut menuntut Chua menarik balik kenyataan itu yang dibuatnya dalam dalam ucapannya pada satu majlis, Khamis lalu di Sunway Resort & Spa di Petaling Jaya, yang turut dimuatkan dalam laman webnya http://drchua9.blogspot.com itu dalam tempoh 24 jam selepas menerima notis tuntutan itu.
Mohd Apis berkata Dr Chua juga perlu memuatkan permohonan maafnya itu dalam laman webnya dengan deraf permohonan maaf itu perlu terlebih dahulu diluluskan oleh mereka.
Dr Chua turut dituntut membayar ganti rugi RM2 juta sebagai
“tanda bersalah dan insaf berhubung kenyataan itu” dan wang itu akan didermakan sepenuhnya kepada agensi amanah.
Mohd Apis berkata, jika Dr Chua enggan, cuai atau mengabaikan notis itu, pihaknya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap pemimpin MCA itu, selain memohon injunksi bagi menghalang Dr Chua daripada “terus menghina bangsa Melayu.”
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Mohd Apis, menyerahkan notis tuntutan guaman empat muka surat itu kepada wakil Dr Chua, iaitu Setiausaha Ketua Pentadbiran ibupejabat MCA, Yap Chin Chin di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, petang ini. - Bernama
Monday, December 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment