KOTA KINABALU :Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah diminta menjaga kebajikan golongan mualaf di negeri ini yang sebelum ini kurang diberi perhatian sewajarnya.
Penyelaras Program-Program Mualaf Sabah, Mohd. Nazri Abdullah berkata, hak dan kepentingan mereka tidak harus diabaikan kerana ia akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan Islam di negeri ini.
“Kita harap Jakim Sabah dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) supaya lebih prihatin dengan nasib golongan mualaf di Sabah. Kebajikan mereka perlu dijaga dan diberi perhatian.
“Sehingga hari ini, kita masih dengar mualaf yang sudah lama memeluk Islam tetapi masih tidak menerima zakat malah ada yang masuk Islam hampir 20 tahun pun masih tidak memperoleh wang zakat,” katanya di sini kelmarin.
Katanya, keadaan itu amat mendukacitakan kerana kebanyakan saudara baru itu terdiri daripada golongan miskin di pedalaman dan perkara tersebut telah berlarutan sejak sekian lama.
Selain itu katanya, pihak yang bertanggungjawab juga perlu menyediakan guru agama untuk membimbing saudara-saudara baru di Sabah dan tidak membiarkan mereka begitu sahaja setelah memeluk Islam.
Beliau bimbang sekiranya keadaan itu dibiarkan, ‘pihak lain’ akan mengambil kesempatan berikutan kefahaman mereka mengenai Islam masih cetek dan masih belum kukuh bertapak dalam jiwa.
Nazri berkata, bagi menyemarakkan lagi usaha dakwah di Sabah, guru-guru agama perlu mahir dengan bahasa tempatan supaya mesej dan ajaran murni Islam sampai kepada golongan sasar.
Beliau mencadangkan, khutbah-khutbah Jumaat di kawasan saudara baru disampaikan dalam bahasa tempatan mengikut sukuan masing-masing bagi memudahkan kefahaman mereka.
Nazri juga berharap Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah supaya mengadakan semula rancangan Rangkaian Biru yang sebelum ini diudarakan melalui siaran radio.
“Rancangan itu sebelum ini diudarakan selama 15 minit yang menerangkan tentang Islam, ia perlu diadakan semula kerana merupakan cara paling berkesan untuk memberi tarbiah atau berdakwah.
“Tetapi kali ini, rancangan tersebut mestilah lebih dari 15 minit, barulah penerangan tentang Islam akan lebih jelas dan tepat lebih-lebih lagi disampaikan dalam bahasa tempatan,” ujarnya.
Perkara ini perlu dihalusi secara lebih mendalam. Apa yang saya tahu melalui perjumpaan dengan masyarakat saudara baru kita di Ranau lebih-lebih lagi sebelah hujung kampung, respons mereka adalah tidak baik kerana pihak JAKIM tidak membuat tindakan susulan dan program yang sesuai bagi memantapkan lagi kefahaman tentang Islam.
ReplyDeleteApa yang dikhuatirkan, saudara baru kita hanya indah pada nama anutan tapi pengisian yang sepatutnya tidak diambil berat.
Saya berharap perkara ini dapat diambil berat demi menegakkan lagi syiar Islamiyah. Insya Allah.