Thursday, December 11, 2008

Sindrom Syok Sendiri Lemahkan Pemuda

Dua juta pengundi muda, dan hampir empat juta yang belum mendaftar sebagai pengundi? Apa mekanisme Pemuda untuk mendekati mereka ini? Masih signifikankah Pemuda dan aktivitinya hari ini dengan citarasa generasi I-Pod dan masyarakat cyber.

Mampukah hujahan pimpinan Pemuda meyakinkan pemikiran kritikal generasi matang lagi berilmu yang dilahirkan oleh puluhan IPTA dalam negeri dan institusi pendidikan luar negeri?

Sudahkah dibuat satu kajian komprehensif selepas PRU ke-12, apakah persepsi golongan muda 18-45 tahun ke atas pergerakan Pemuda UMNO? Adakah gerakan Pemuda dilihat sebagai pembela generasi muda atau satu gerakan yang syok sendiri?

Apakah gerakan Pemuda dilihat boleh diharap ataupun lebih kurang sama dengan abang-abang senior yang sudah terpalit dengan pelbagai kemelut dan krisis diri?

Apa makna menang sebagai Ketua Pemuda Pusat, Ketua Pemuda bahagian, atau dilantik AJK Bahagian tetapi akhirnya bila tiba Pilihanraya UMNO dan BN terus kecundang, kita gusar lima negeri yang jatuh ketangan pembangkang bakal bertambah menjadi lapan dalam PRU ke-13 nanti.

Momentum gerakan, aktiviti dan halatuju perlukan penjenamaan. Mari kita bercakap tentang orang kampung, nasib petani, nelayan, buruh kasar dan siswazah menggangur. Jangan asyik syok sendiri dibuai mimpi menjadi perwakilan G-2 ke Kuala Lumpur Mac nanti.

Jangan lagi syok sendiri mengenangkan habuan RM dan penginapan mewah yang bakal ditaja bila sampai di Kuala Lumpur nanti.

Yang sudah menang di peringkat bahagian, susun gerakerja, buat takwim aktiviti untuk 2009, gerakkan tenaga, cari tenaga muda, profesional muda, guru muda, pensyarah dan dan peguam muda. Dekati mereka, kita definisikan isu yang berlaku.

Jangan dibiar hilang dan padam ibarat ditiup angin yang berlalu, kita tampilkan diri sebagai pemimpin pemikir dan pemikir berintegriti. Pemimpin Pemuda patut menjadi ikon, boleh diharap bukannya terus jumud minda dan perangainya mengalahkan pesalah juvana.

Pemimpin Pemuda harus kuat jatidiri, elok akhlak dan sahsiah agamanya, boleh memimpin dalam agama, memimpin dalam masyarakat, mencari jalan keluar bagi segala kemelut sosial yang melanda masyarakat.

Pimpinan dan ahli Pemuda bukan lagi sekadar tukang tampal poster, atau kaki samseng yang membuat hal semasa hari pencalonan di musim pilihanraya.

Pemuda perlu keluar ke hadapan, menjelas isu dan kemelut rakyat, menyanggah sikap durjana dan tidak bertanggungjawab kerajaan Pakatan Rakyat.

Pemuda perlu memujuk pengundi muda, daftar ahli baru, yakinkan mereka, bahawa hanya UMNO yang boleh diharap untuk membela nasib dan mengangkat suara rakyat.

Pemuda perlu lebih ke hadapan dan menjadi pejuang wahid kepada soal kebajikan. Pemuda harus tampil cekal menjadi pendekar hebat memelihara bangsa, maruah agama dan kedaulatan negara.

Pemuda harus berani berdebat, tahu bekerja, merancang dan meneroka peluang baru untuk menjayakan diri dan organisasi.

Pemuda harus lebih sensitif, kreatif, inovatif untuk meningkatkan momentum gerakan PEMUDA UMNO diperingkat Cawangan, Bahagian agar terus diterima rakyat, dihormati masyarakat dan dipuja musuh mahupun sahabat.

Sobri Sudin
Ketua Penerangan Pergerakan
Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena

2 comments:

  1. Apa perancangan pemuda Ranau & mereka yang berada dalam pemimpin bahagian Ranau, bersediakah sudah untuk itu?

    Kalau dilihat, untuk 3-5 tahun akan datang, penggunaan teknologi siber bakal menjadi medan pertempuran minda yang semakin mencabar. Gadget teknologi yang bakal digunapakai pastinya senjata dalam menarik minat belia muda ini, seumpama seperti dalam siri James Bond.

    Makanya, jadikan teras K-Knowledge dalam masyarakat itu sebagai usaha untuk menghasilkan kreativit dan inovasi dalam memantapkan fungsi pemuda dalam memikat belia muda. Teruskan perjuangan.

    ReplyDelete
  2. yang tua-tua[veteran] harap jangan di lupakan.

    ReplyDelete

Instaforex